IMPIAN aktres Mia Ahmad untuk memiliki cahaya mata bakal tercapai apabila dia disahkan hamil. Menerusi perkongsian di laman Instagram, Mia berkata awalnya dia agak bimbang untuk memaklumkan tentang kehamilan itu kerana pernah mengalami keguguran beberapa bulan lalu. "Dengan penuh kesyukuran, saya ingin mengumumkan saya kini sedang hamil, takut juga mahu umumkan tentang ini kerana pernah keguguran beberapa bulan lalu. "Tetapi, ia membuatkan saya lebih kuat dan memberanikan diri untuk memberitahu semua orang tentang kehamilan ini. "Saya harap semua orang memahami keadaan saya dan minta maaf jika ada di antara kamu yang terkejut dengan hal ini," tulisnya pada Selasa. Perkongsian Mia di Instagramnya pada Selasa. Sementara itu, Mia memohon maaf kepada pihak produksi kerana terpaksa menolak beberapa program berkaitan kerana perlu menjaga kesihatan di awal kandungan. "Saya ingin mohon maaf kepada semua produksi kerana terpaksa tolak tawaran lakonan, penggambaran, penampilan majlis, temuramah dan sebagainya kerana perlu menjaga kesihatan. "Saya juga mohon maaf kepada pihak media kerana tidak membalas panggilan telefon dan Whatsapp dihantar. "Saya harap perjalanan kehamilan saya akan berada di dalam doa anda dan semoga Allah memberkati kita semua. Amin," tulisnya. Bagaimanapun, dalam muat naik tersebut Mia tidak menyatakan usia kandungannya. Mia atau nama sebenar Shamiha Ahmad Baderi berkahwin dengan penjaga gol bola sepak pasukan JDT iaitu Izham Tarmizi Roslan, 26, pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak.