SETAHUN tidak bersama bagi menjayakan sebuah program televisyen besar, Bocey tidak bimbang momentum mereka sebagai sebuah kumpulan lawak akan terganggu apabila mereka bakal muncul dengan rancangan Bocey & Friends Live bermula 23 Mac ini. Salah seorang anggotanya, Abam berkata, mereka mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan keserasian dan aplikasi sosial WhatsApp adalah medium penting untuk mereka berkomunikasi. "Setahun kami jarang bersama untuk menjayakan program atau acara sebagai Bocey kerana masing-masing ada komitmen tersendiri. "Insya-Allah keserasian di antara kami masih ada kerana walaupun jarang berjumpa tetapi kami akan memastikan sentiasa berbual dalam telefon malah kami ada group chat di WhatsApp. Bocey teruja bakal muncul dengan program Bocey & Friends Live. "Di situ kami bertanya khabar, bergurau senda sebagai salah satu cara kami kekalkan hubungan baik selain kalau berjumpa ada sahaja benda gila yang akan kami lakukan," katanya kepada mStar Online. Bocey yang turut dianggotai oleh Achey dan Fad ditemui pada pelancaran Bocey & Friends Live yang diadakan pada Rabu. Bocey & Friends Live bakal bersiaran secara langsung bermula 23 Mac, Jumaat 10 malam di Astro Warna (132) dan Warna HD (124). Dalam pada itu, Abam berkata, kemunculan mereka dalam program itu diharap dapat mengubat kerinduan peminat yang sering bertanya bila mereka akan tampil dengan sebuah rancangan. Nasir Bilal Khan bakal bertindak sebagai Tukang Buka Panggung. "Kali terakhir kami buat program yang besar adalah Maharaja Lawak Mega tahun lalu dan sejak itu kami banyak fokus kepada karier solo dan ada beberapa kali kami bersatu untuk beberapa program. "Kami lihat ini sebagai peluang untuk mengubat kerinduan terhadap peminat kerana mungkin ada yang menyangka kami sudah tidak bersama dan perkara itu tidak benar. "Bocey akan tetap sebagai Bocey. Berpecah itu tidak pernah kami fikirkan pun," katanya. Bercakap mengenai program itu, Abam berkata, mereka bakal mengetengahkan topik yang dekat dengan masyarakat Malaysia menerusi lakonan dan nyanyian. Katanya lagi, setiap minggu mereka akan mempersembahkan dua buah komedi berbeza yang turut disertai oleh artis undangan. Bocey bersama Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh (tengah). “Topik yang akan kami ketengahkan seperti isu kekeluargaan, suami-isteri, isu pejabat, buli dan sebagainya menerusi sketsa komedi dan nyanyian. “Kami akan undang tetamu jemputan tetapi identiti mereka hanya akan diketahui pada malam persembahan,” katanya. Tambahnya, pelakon veteran, Nasir Bilal Khan akan bertindak sebagai Tukang Buka Panggung dalam memperkenalkan topik yang akan dipentaskan selain merumuskan mesej dan nilai positif yang terkandung dalam persembahan mereka. Manakala Datuk Ramli MS akan bertindak sebagai pengarah muzik Bocey & Friends Live sepanjang lapan minggu program berlangsung.