PERKONGSIAN penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengenai perasaannya apabila menjadi bahan hinaan gara-gara keadaan fizikalnya menyentuh perasaan pengikut di Instagram. Pendedahannya itu kata Sarah, 34, bukan semata-mata untuk meraih simpati tetapi sebaliknya ingin berkongsi kisah dirinya sendiri atas kesedaran masih ramai mengalami nasib sama sepertinya. Kata penyanyi lagu Kesetiaan ini lagi, dia juga terkejut apabila ramai di antara pengikutnya meninggalkan mesej peribadi di Instagram dengan memaklumkan kisahnya itu telah banyak membantu dan memberi inspirasi kepada mereka. "Saya berkongsi mengenai kisah saya kerana sedar bahawa masih ramai diluar sana yang pernah mengalami situasi seperti saya. Sarah sentiasa positif dalam kehidupannya. "Alhamdulillah ramai pengikut saya yang menghantar mesej peribadi memberitahu apa yang saya kongsi itu banyak membantu mereka dalam mengharungi masalah dihadapi. "Mereka ingin menjadi kuat seperti saya dan saya rasa seperti mereka berpegang pada saya dan sebab itu juga saya mahu berkongsi kisah saya secara terbuka," katanya. Sarah ditemui pada sidang media program Mentor Otai yang diadakan pada Selasa lalu. Isteri kepada pelawak Shuaib (Sepahtu) itu, bertindak sebagai mentor bersama tiga lagi artis iaitu Misha Omar, Tam Spider dan Zarul Husin. Menerusi perkongsian di laman instagramnya itu Sarah mendedahkan dia penah dipanggil gorila dan nama-nama haiwan lain. Dalam pada itu, Sarah berkata, perkongsiannya itu juga ingin memberi inspirasi kepada masyarakat bahawa sebagai manusia kita tidak boleh berasa rendah diri terhadap kekurangan diri. Perkongsian Sarah mendapat perhatian peminat. Sebaliknya kata Sarah, dia juga ingin menyebarkan aura positif kepada para pengikutnya kerana ia adalah antara perkara paling hebat seseorang boleh lakukan. "Saya ni seorang yang keyakinan dirinya tinggi dan sentiasa positif biarpun apa juga orang hendak kata. "Jika kita sentiasa positif dan dikelilingi dengan orang-orang yang mempunyai aura yang baik, Insya-Allah semuanya akan jadi lebih mudah," katanya. Dalam perkembangan lain, Sarah berkata, dia kini sedang dalam proses rakaman single terbaharunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.