suria

7A Hadiah ‘Birthday’ Wani Kayrie

Wani berbangga dengan keputusan 7A. Foto Instagram: Wani Kayrie

PENYANYI Wani Kayrie berkata keputusan cemerlang yang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang bakal disambut pada 17 Mac iaitu Sabtu ini.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, menzahirkan rasa syukur apabila memperoleh keputusan 7A daripada sembilan subjek yang diambil dan menganggap ia sebagai hadiah yang sangat bermakna.

"Masa nak ambil keputusan tadi rasa gementar juga lebih-lebih lagi bila nama tak tersenarai sebagai pelajar Straight A's. Tapi bila cikgu beritahu dapat 7A terus rasa lega dan puas hati.

"Bayangkan tahun lalu, Wani kena pergi sekolah dan dalam masa sama sibuk dengan nyanyian lagi. Boleh dikatakan jadual memang sangat padat. Akhirnya, pengorbanan dan usaha ini berbaloi dan membuahkan hasil.

ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie Tidak Gementar Jawab SPM

ARTIKEL BERKAITAN: Dua Pemain Bola Cuba Dekati Wani Kayrie

Usaha Wani berbaloi dan membuahkan hasil.

"Wani anggap keputusan ini sebagai hadiah sempena hari lahir yang bakal disambut Sabtu ini," katanya kepada mStar Online.

Wani mendapat 7A dalam semua subjek kecuali Matematik dan Perakaunan, masing-masing memperoleh gred B dan C.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor ini turut mempunyai perancangan menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Insya-Allah kalau ada peluang mungkin sambung belajar, kita tengok nanti macam mana nanti. Sekarang ini Wani nak fokus dulu dengan karier nyanyian sebab single baru akan keluar tak lama lagi.

Wani ada perancangan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Perancangan akan datang kita tak tahu, kalau ada rezeki kita sambung belajar. Wani lihat pada kesesuaian terlebih dahulu," katanya.

Ditanya mengenai hadiah yang akan diberikan oleh kedua ibunya, penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini berkata dia tidak mengharapkan sebarang ganjaran daripada orang tuanya.

"Wani tak minta dan tak mengharapkan hadiah, cukuplah sokongan yang mereka beri selama ini.  Dah banyak duit yang mereka keluarkan sepanjang Wani bergelar pelajar sekolah.

"Keputusan cemerlang ini juga merupakan hadiah untuk kedua ibu bapa Wani yang tak henti-henti menyokong perjalanan karier Wani tahun lalu," katanya.

Wani Kayrie, SPM

Artikel Lain