suria

Shahrol Menangis Tahan Sakit Akhirnya Terpaksa Dibedah

Shahrol mengalami sakit kepala yang teruk sejak malam Ahad lalu.

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio Shahrol (Shiro) selamat menjalani pembedahan pada hidung kira-kira pukul 1 petang Selasa akibat menghidapi penyakit sinus atau resdung yang serius.

Isterinya Nor Farhanah Syamimi, 28, berkata, pelawak berkenaan dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ di Johor Bahru pada Rabu minggu lalu selepas mengadu sakit kepala yang teruk.

“Dia dimasukkan ke wad pada Rabu tapi dia minta keluar pada Khamis kerana ada beberapa tugasan dan persembahan yang terpaksa dihadiri di Kelantan dan Tangkak, Johor.

“Pada Ahad lepas pula dia nak sambut ulang tahun kedua perkahwinan kami, malam tu dia sakit kepada teruk sampai terpaksa menangis untuk menahan sakitnya.

“Kemudian pada Isnin saya bawa dia ke hospital semula, doktor buat pemeriksaan dan dapati sinus dia semakin bahaya,” ujarnya kepada mStar Online.

Nor Farhanah bimbang kesihatan Shahrol yang semakin teruk.

Sementara itu, Nor Farhanah, berkata, Shahrol masih belum sedar akibat penggunaan ubat bius.

Selain itu, katanya kesibukan kerja juga menjadi antara punca penyakit tersebut menjadi semakin serius.

“Dia kerja kuat sehingga tidak cukup rehat, banyak sangat tanggungjawab yang perlu dia selesaikan. Waktu makan dan tidur pun tidak tetap.

“Ketika dia membuat orang gembira tapi dia sebenarnya menahan sakit,” ujarnya.

Shahrol yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Best FM di Johor pernah menjalani pembedahan penyakit yang sama pada tahun 2015.

Shahrol Shiro, Best FM

Artikel Lain