suria

Tak Keluar ‘Melodi’ Antara Aduan Artis Kepada Seniman

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tiga dari kiri) merasmikan majlis pelancaran kenderaan khas Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada Selasa.

AMPANG: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mendedahkan pihaknya menerima kira-kira 200 laporan dan aduan dalam tempoh setahun daripada rakan artis dan selebriti tempatan untuk mengadu pelbagai masalah.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya menerima semua laporan tersebut biarpun kadang-kala ia terlalu remeh dan di luar kemampuan persatuan itu untuk membantu.

“Kami terima dalam 150 hingga 200 laporan setahun daripada ahli dan semuanya kami cuba selesaikan dan cari jalan kepada mereka.

“Cuma ada beberapa laporan yang kadang-kadang tidak boleh nak bantu seperti kenapa pihak radio tidak memutarkan lagu mereka, pergi temuramah dalam program Melodi tapi tak disiarkan malah aduan mengenai nama tidak diberi kredit untuk drama pun ada kami terima.

"Bagaimanapun apabila kami semak tentang aduan itu mereka ini sebenarnya pelakon tambahan sahaja," katanya kepada mStar Online.

Zed ditemui pada majlis pelancaran kenderaan khas Seniman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di sini, Selasa.

Kenderaan khas Seniman akan digunakan untuk kemudahan ahli-ahlinya. Turut kelihatan Salleh Said Keruak (kanan).

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Selain itu, Zed berkata, pihaknya juga turut menerima laporan berunsur jenayah seperti kes bunuh dan pelacuran membabitkan artis.

Katanya, perkara itu akan terus disalurkan kepada pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

“Baru-baru ini ada individu membuat laporan terpedaya dengan agensi memberi tawaran berlakon tetapi dia diberi syarat tidak sepatutnya iaitu perlu bergambar bogel dan pakej berunsurkan jenayah pelacuran.

“Kami sedang menyiasat tentang perkara itu dan ada juga pihak hubungi saya berkaitan kes bunuh baru-baru ini. Ia di luar bidang kuasa tapi saya bantu dia untuk melaporkan perkara itu ke polis,” ujarnya.

Tambah Zed, Seniman sedia menerima sebarang laporan dan membantu mana-mana ahlinya bagi menyelesaikan masalah mereka namun ia perlu mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Saya tahu ramai bermasalah tapi perlu lalu jalan yang betul agar kami tahu bagaimana nak bantu.

Kenderaan khas Seniman.

“Kalau mereka buat laporan sekurang-kurangnya kami faham masalah mereka, jika tidak buat laporan dan tiba-tiba mengadu pada media atau laman sosial tentang kami tidak buat kerja itu tidak adil.

“Kebanyakkan artis terutama yang popular hanya meluahkan perasaan mereka di laman sosial sahaja dan anggap kami tahu masalah mereka,” ujarnya.

Seniman kini dianggotai lebih 6,000 ahli berdaftar.

Sementara itu, kenderaan khas yang dilancarkan Seniman pada Selasa akan digunakan untuk kemudahan ahli-ahlinya.

Ia juga boleh disewakan kepada pihak tertentu sebagai pendapatan tambahan kepada badan itu.

“Kita usahakan van Seniman ini sejak setahun lalu dan akhirnya terlaksana. Sekurang-kurangnya ahli veteran yang kurang berkemampuan dapat menggunakan van ini untuk ke mana-mana majlis.

“Kami juga sedang merancang untuk mewujudkan klinik Seniman yang mana memberi kemudahan kepada ahli yang sakit dan kurang berkemampuan,” ujarnya.

Seniman, Zed Zaidi

Artikel Lain