suria

Peminat Sebak, Ada Menangis Tonton ‘Comel Pipi Merah’

Siti kongsi detik-detik kelahiran anak sulungnya menerusi muzik video Comel Pipi Merah.

PENANTIAN peminat penyanyi kesayangan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menonton muzik video penuh lagu terbarunya, Comel Pipi Merah akhirnya tercapai apabila ia dikongsi dengan orang ramai sejak malam Rabu.

Muzik video tersebut dimuat naik di YouTube rasmi DatoSNurhalizaVEVO.

Rata-rata peminat meluahkan rasa sebak apabila menonton detik-detik kelahiran Siti Aafiyah, puteri sulung Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 100,000 Jadi Pengikut Siti Aafiyah Di Instagram Ciptaan Abangnya

Klip video Comel Pipi Merah dapat sambutan hangat.

"Ya Allah kita pula yang sebak tengok. Jelas terpancar sinar kebahagiaan pada raut wajah mak Iti. Penantian 11 tahun yang penuh makna.

"Dari mula saya tersenyum sampai akhir. Tak sedar sampai air mata keluar. Tahniah Tokti. Saya baru selamat melahirkan bayi kembar tiga. Rasa bahagia tu macam mana.

"Tak tahulah kenapa sebak, penantian yang lama bagi penyanyi nombor satu negara. Tahniah Datuk CT. Jagalah amanah ini dengan baik," tulis beberapa netizen.

Siti Aafiyah kini adalah bayi paling popular.

Selain itu, peminatnya turut mendoakan bayi perempuan yang membawa maksud 'segala yang baik' itu menjadi anak yang solehah.

Belum cukup 24 jam dimuat naik, muzik video tersebut kini treding dan menerima hampir 150,000 tontonan serta lebih 21,000 tanda suka.

Dalam pada itu muzik video dalam bentuk lirik ciptaan pengurus Siti, Rozi Abdul Razak masih trending di tangga kelima dan lebih dua juta tontonan sejak dimuat naik pada 14 Mac lalu.

Muzik video lirik lagu tersebut masih menjadi trending di Youtube.

Siti Nurhaliza melahirkan bayinya dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi pada 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta secara pembedahan.

Sewaktu dilahirkan bayi itu diberikan nama sementara Fatimah Az-Zahra sempena nama anakanda Nabi Muhammad.

Pada Ahad lalu Siti dan suami mengumumkan nama puteri mereka dalam satu majlis di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Majlis akikah dan tahnik itu dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Bakri.

Artikel Lain