PELAKON dan penyanyi Elyana berkongsi pengalaman seram apabila dia dan suami, Khairul Hussin sesat ketika dalam perjalanan ke tayangan perdana filem Dukun yang diadakan di Menara Berkembar KLCC pada petang Rabu. Elyana berkata, mereka menghabiskan masa selama 20 minit mencari bangunan pencakar langit itu yang ghaib dari pandangan walaupun sudah berada di kawasan berhampiran menara berkenaan. "Saya sendiri pun pelik dengan kejadian yang menimpa kami sampai saya berasa seram apabila memikirkan KLCC yang besar dan tinggi itu kami tak boleh jumpa. "20 minit kami melalui jalan sama dan sebenarnya KLCC berada dekat sahaja dengan kami tetapi ia seperti ghaib," katanya. Elyana ditemui selepas tayangan perdana filem arahan Dain Said itu yang mula ditayangkan pada Khamis. Barisan pelakon Dukun (dari kiri); Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Dain Said (pengarah), Umie Aida dan Elyana. Selain Elyana, filem itu turut membariskan pelakon hebat seperti Datin Umie Aida, Adlin Aman Ramlie, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat. Tambah Elyana, menyedari ada sesuatu yang tidak kena dia mula membaca surah al-Fatihah dan tiga Qul selain berdoa kepada Allah sebelum selamat sampai ke lokasi tayangan filem itu. Bercakap mengenai Dukun, Elyana berkata, ketika filem itu dihasilkan dia baru berusia 18 tahun dan masih mengingati bagaimana dia berasa gementar dan takut apabila mempunyai babak bersama Umie. Imbau Elyana, perasaan itu timbul mungkin disebabkan dia memandang tinggi terhadap Umie sebagai seorang pelakon berkaliber namun menyifatkan ia pengalaman berharga dapat bergandingan dengan aktres itu. "Memang saya gementar sangat bila masuk set bersama Umie. Dia ada aura yang buat saya takut mungkin disebabkan saya memandang tinggi dan menghormatinya sebagai pelakon senior. Elyana mengakui gementar berlakon disamping Umie Aida. "Pernah sebelum masuk set kami berlawan pandangan untuk dapatkan 'feel' dan perasaan bertentangan mata dengannya memang mendebarkan. "Tapi Umie banyak membantu saya dan beliau seorang yang tidak lokek ilmu bagi memastikan hasil diberikan adalah yang terbaik," katanya. Sementara itu, Elyana berkata, dia sebenarnya sudah putus asa apabila Dukun tiada khabar berita untuk ditayangkan dan terkejut apabila diberitahu ia akhirnya masuk panggung. "Rasanya sejak tujuh tahun lepas saya dah berhenti berharap filem ini akan ditayangkan dan memang langsung tak menyangka ada keajaiban berlaku. "Harap-harap Dukun diterima baik oleh penonton yang sudah lama ternanti-nantikan kemunculan filem ini," ujarnya.