suria

Remaja autism teringin ke AME2018, pihak Astro tunaikan hasrat

Zahiem Assaid Zaharul Lailiddin melukis tiket AME2018 di atas kertas. Foto Instagram @masnura_muslim

SEORANG remaja autism iaitu Zahiem Assaid Zaharul Lailiddin mencuri perhatian apabila meluahkan hasrat untuk menghadiri Anugerah MeleTOP Era 2018 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Ibu remaja berusia 15 tahun itu, Masnura Muslim turut memuat naik video anaknya berdoa agar dapat menghadiri acara itu malah berhajat untuk membawa dua adik-beradiknya menemani dia ke sana.

Masnura ketika dihubungi mStar Online berkata, Zahiem memang meminati program MeleTOP dan apabila mendapat tahu AME2018 bakal berlangsung dia berpesan agar mendapatkan tiket untuknya.

Malah kata Masnura yang juga seorang guru, anak kesayangannya itu akan mengingatkannya hampir 10 kali setiap hari tentang acara itu.

Zahiem (kanan) bersama ahli keluarganya.

"Saya sendiri pun tak begitu ambil berat mengenai AME2018 tetapi Zahiem memang setiap hari akan ingatkan saya dan begitu teruja untuk pergi menonton AME2018.

"Buntu juga saya kerana tidak tahu bagaimana hendak dapatkan tiket kerana sudah berjanji dengannya untuk membawanya menonton," katanya.

Kata Masnura lagi, kerana terlalu ingin menghadiri AME2018, Zahiem turut membuat tiketnya sendiri yang turut tertera maklumat mengenai tarikh dan lokasi acara itu berlangsung.

"Pening juga saya dibuatnya sebab dia sampai buat tiket sendiri gara-gara hendak ke AME2018.

"Bukan sahaja dirumah tetapi apabila ke sekolah dari cikgu sampai kawan-kawan pun sudah tahu dia akan pergi ke AME2018.

"Kalau tak dapat pergi juga memang akan berlaku perang dunia ketiga!," katanya.

Zahiem meminati dunia hiburan dan peminat program MeleTOP.

Bercakap lanjut mengenai anaknya itu, Masnura berkata, Zahiem memang meminati apa sahaja mengenai dunia hiburan malah mengetahui semua isu semasa berkaitan selebriti.

"Ia perkara yang buatkan dia gembira... setiap hari pulang dari kerja dia akan bercerita macam-macam mengenai dunia hiburan daripada program MeleTOP yang dia tonton.

"Malah setiap hari dia akan tonton siaran ulangan yang dia rakam dan kalau ada apa-apa saya nak tahu, saya tanya dia sahaja," ujarnya.

Usaha mStar Online untuk membantu Zahiem mendapatkan tiket ke AME2018 berhasil apabila pihak Astro menghadiahkan tiga keping tiket kepada remaja itu bagi membolehkan dia hadir ke anugerah itu.

"Pihak Astro berbesar hati dapat merialisasikan impian Zahiem bersesuaian dengan konsep AME2018 yang meraikan semua," kata wakil Astro.

Keluarga berkenaan boleh mendapatkan tiket daripada pihak Astro untuk ke acara itu.

AME2018

Artikel Sebelum

Artikel Lain