suria

Lebih 8 tahun Pauline Tan tak cakap Bahasa Melayu

Pauline Tan mahu ceburi pasaran Melayu.

PETALING JAYA: Pelakon berbangsa Cina iaitu Pauline Tan memberitahu dia sedang memperbaiki tahap penguasaan Bahasa Melayu untuk melebarkan sayapnya ke dunia lakonan tempatan.

Pauline, 24, berkata, dia perlu menonton drama, mendengar lagu dan membaca majalah Melayu sebagai salah satu cara dia meningkatkan kemahiran terhadap bahasa itu.

"Saya mahu mencuba nasib di pasaran Melayu pula, jadi perlu fasih dan banyak yang perlu saya pelajari lagi.

"Sebelum ini saya belajar di Taiwan dan Korea menyebabkan saya sudah lebih lapan tahun tidak berbahasa Melayu," ujarnya kepada mStar Online.

Pauline Tan

Sementara itu, bekas peserta Miss Malaysia 2015 ini berkata, dia ingin menceburi pasaran Melayu disebabkan tidak mahu ke luar negara.

Pauline berkata, dia mahu bekerja dan menetap di negara ini berbanding mencuba nasib di negara luar.

"Saya sudah berlakon sejak 2015 dan membintangi banyak drama Cina, ramai yang suruh saya ke Taiwan, Hongkong atau China jika mahu pergi lebih jauh kerana pasaran sini kecil.

"Saya tidak mahu kerana saya ingin tinggal di sini, jadi saya buat keputusan untuk cuba nasib di pasaran Melayu pula kerana ia lebih luas," ujarnya.

Dalam pada itu, Pauline bersyukur apabila diberi peluang untuk membintangi drama arahan pelakon dan pengarah Sabri Yunus berjudul Kebaya Mek Hwa.

"Saya rasa bersyukur dapat berkerja dengan Sabri Yunus kerana dia bukan sahaja penagrah malah pelakon berpengalaman.

"Dia faham apa yang pelakon mahukan dan sentiasa terbuka menerima pendapat pelakon sebelum memulakan sesuatu babak," ujarnya.

Pauline Tan

Artikel Lain