GARA-GARA mahu mengikuti rombangan ke Sabah, penyanyi Sufian Suhaimi terpaksa menyertai kumpulan tarian zapin. Sufian, 26, berkata dia pernah mewakili sekolah dan menjadi salah seorang penari ketika masih menuntut di Universiti Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu. "Sebenarnya saya pernah menari. Masa di sekolah rendah saya pernah menari zapin dan di Unisza pun saya salah seorang penari ulek mayang. "Saya sertai kumpulan penari pun sebab ketika itu pusat kesenian warisan Unisza nak hantar wakil tarian ke Sabah. "Kita pelajar bila dengar dapat naik kapal terbang dan pergi negeri orang terus rasa teruja sampai sangguP tawar diri untuk menari," kata Sufian kepada mStar Online. Sufian pernah menyertai kumpulan tarian. Kali terakhir Sufian menyertai persembahan tarian ketika melanjutkan pelajaran Sarjana Muda jurusan komunikasi dalam bahasa Inggeris di Unisza pada 2015. Tambah Sufian, dia suka melihat persembahan tarian namun kini berasakan dirinya tidak sesuai untuk menari. "Saya suka tengok persembahan tarian. Tapi sekarang ada cuba juga tapi apabila lihat diri di cermin memalukan pula. "Kalau ada yang minta saya untuk menari sekarang, mungkin tidak kot," ujarnya. Sufian akan membuat persembahan pada malam separuh akhir Malaysia Floor Pattern Sport Dance Competition 2018 di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang bermula 8 hingga 12 Mei depan. Bagi Sufian, lagu mendayu-dayu lebih mudah diterima pendengar. Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Dimatamu ini tidak kisah dilabel sebagai 'raja lagu sedih' kerana baginya lagu yang mendayu-dayu lebih mudah mendapat tempat di hati pendengar. "Lagu sebegini sudah diminati pendengar muzik sejak era 1980-an lagi. Saya sendiri tidak kisah jika orang hendak melabelkan saya sebagai 'raja lagu sedih'. "Sebab karya seperti itu yang banyak mendapat tempat di hati mereka. Malah, sebelum video muzik Di Matamu dilancarkan lagi, ramai yang sudah menyanyikannya semula sebagai lagu rakaman semula. "Ia bukan saja dilakukan oleh peminat, bahkan dalam kalangan artis juga. Ia bermakna, lagu ini mendapat tempat dan diterima ramai," ujarnya. Lagu hasil ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu sudah mencecah lebih 10 juta tontonan dan berada pada kedudukan pertama video sohor kini di laman terbabit sejak 22 Mac lalu.