suria

Aiman Tino kini pengarah urusan

Aiman Tino kini bergelar pengarah urusan Manno Resources Sdn. Bhd. Foto NORAFIFI EHSAN

PENYANYI Aiman Tino bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai pengarah urusan syarikatnya, Manno Resources Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak 19 Disember tahun lalu.

Aiman, 19, berkata, walaupun usianya masih muda namun dia tidak melihat ia sebagai satu halangan untuk mengemudi syarikat berkenaan kerana dia turut dibantu oleh ibu bapanya.

"Saya tahu usia saya masih muda tetapi itu bukanlah penghalang untuk saya menggalas tanggungjawab tersebut kerana saya sentiasa ada keluarga terutama ibu bapa yang sentiasa ada dibelakang saya.

"Malah semua kaki tangan syarikat yang hampir 50 orang kesemuanya juga banyak membantu memandangkan ramai di antara mereka berpengalaman dalam bidang perniagaan.

Aiman mendapat sokongan keluarga.

"Ini adalah permulaan yang baik untuk saya dan saya sudah bersedia untuk membina nama Manno Resources Sdn Bhd ke tahap lebih tinggi," katanya.

Aiman ditemui pada majlis pelancaran dua produk pertama syarikatnya iaitu Jus Manno dan Jus Manno Junior yang diadakan pada petang Ahad.

Dalam pada itu, Aiman berkata, menerusi syarikatnya itu, dia merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk termasuk fesyen, kecantikan, aksesori dan sebagainya.

Buat masa ini kata Aiman, dia akan memfokuskan kepada produk kesihatan selain menguatkan nama syarikatnya menerusi pelbagai strategi pemasaran yang telah diatur.

Aiman ingin mempelbagaikan produk syarikatnya.

"Buat tahun pertama ini keuntungan itu sudah jatuh nombor dua kerana paling penting sekarang kita perlu menguatkan nama syarikat serta produk Jus Manno dan Jus Manno Junior terlebih dahulu.

"Pelbagai perancangan telah diatur dan saya sangat teruja untuk melaksanakan semua yang telah dirancang," ujarnya.

Tambah Aiman, menerusi syarikatnya itu juga, dia ingin memberi balik kepada masyarakat terutama golongan memerlukan dengan menyumbangkan RM1 dengan setiap hasil jualan produk tersebut.

"Saya bukan hendak kaya tetapi menjadi hasrat saya untuk beramal dengan memberi balik kepada golongan memerlukan.

Dua produk pertama keluaran syarikat Aiman.

"Saya yakin dengan sedikit bantuan diberikan Insya-Allah, rezeki kita akan digandakan oleh Allah.

"Alhamdulillah setakat ini dapat juga membantu beberapa pertubuhan yang memerlukan dan ini akan menjadi usaha berterusan daripada pihak Manno Resources Sdn. Bhd," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan karier seni, Aiman berkata, walaupun sibuk dengan perniagaan dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia seni.

"Bidang nyanyian masih nombor satu dan perniagaan yang kedua. Insya-Allah dengan pengurusan masa yang betul saya pasti dapat seimbangkan kedua-dua bidang ini dengan baik," katanya.

Artikel Lain