suria

Arif Jiwa Asyraf dah sedia terima tawaran

Tya Arifin dan Asyraf Khalid bersama anak mereka Arif Jiwa Asyraf selepas kanak-kanak itu memenangi trofi Si Cilik MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) pada malam Ahad.

JIKA ada segelintir selebriti enggan mendedahkan anak mereka kepada dunia glamour namun ia berlainan buat anak tiri kepada penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid.

Asyraf, 26, berkata, baginya dia terbuka sekiranya ada pihak ingin menawarkan tawaran buat anaknya, Arif Jiwa Asyraf terutamanya selepas kanak-kanak itu memenangi trofi Si Cilik MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) pada malam Ahad.

Malah Asyraf memberitahu sekiranya ada pihak berminat menawarkan seperti lakonan atau pun iklan dia menyifatkan perkara itu sebagai rezeki dan peluang itu bukan boleh dirasai oleh semua orang.

"Pada saya okay sahaja kerana orang lain mungkin tak dapat peluang yang sama.

Asyraf terbuka sekiranya ada pihak ingin menawarkan tawaran buat Arif.

"Tetapi keterbukaan itu bergantung kepada apa yang sesuai untuk Arif mungkin seperti program realiti, iklan atau program yang singkat," katanya.

Arif yang baharu berusia setahun menumpaskan calon kegemaran bagi kategori Si Cilik MeleTOP lain seperti Aaisyah Dhia Rania, Lara Alana, Syeriv Samheizy dan Yusof Iskandar.

Kemenangan itu membolehkan Arif membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi sumbangan Astro.

AME2018 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur memperlihatkan Neelofa dan Khai Bahar membawa pulang trofi utama, Top Top MeleTOP 2018.

Bagaimanapun kata Asyraf, setiap tawaran diberikan akan diteliti terlebih dahulu mengikut kesesuaian memandangkan Arif masih kecil.

Arif baru sahaja menyambut hari jadinya yang pertama baru-baru ini.

Kata Asyraf, sebelum ini pun dia pernah menolak beberapa tawaran untuk anak kesayangannya itu kerana ia tidak bersesuaian.

Bercakap mengenai kemenangan itu, Asyraf berkata, ia adalah usaha berterusan isterinya, Tya Arifin yang bersungguh-sungguh berkempen di Instagram yang akhirnya membawa rezeki kepada Arif.

"Memang Tya bersungguh-sungguh mahu Arif menang dan dia sentiasa membuat kempen di Instagram.

"Alhamdulillah ada peminat Arif yang sudi mengundi dan ini adalah trofi kemenangan pertama untuknya," katanya.

Artikel Lain