suria

Selain dibuli, Ismail Izzani turut terima komen jelik

Ismail Izzani

PETALING JAYA: Kurang sebulan selepas dilancarkan, video muzik single terbaharu penyanyi Ismail Izzani yang berjudul Luar Biasa sudah pun mencatatkan lebih empat juta tontonan.

Namun, di sebalik pencapaian penuh membanggakan itu, siapa sangka bakat muda ini pernah melalui detik hitam di awal pembabitannya dalam dunia seni.

Menurut Ismail, 17, dia pernah menjadi mangsa buli secara dalam talian sehingga menyebabkan dia hampir berputus asa untuk meneruskan kerjayanya.

"Mula-mula masuk industri ini, saya dibuli online. Saya menerima banyak komen jelik di Internet.

"Ia sangat menyakitkan, malah ada juga komen yang mengaitkan ibu bapa dan keluarga saya sedangkan mereka tak ada kaitan pun dengan industri muzik," kata Ismail.

Ismail Izzani

Pengalaman pahit itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya sehingga dia kini dikenali ramai dan menjadi antara penyanyi muda paling popular di Malaysia.

Pengalaman dibuli itu juga menjadi sebab utama mengapa Ismail menyokong kempen #StandTogether yang diperkenalkan oleh R.AGE, sebuah unit dalam Star Media Gorup Berhad.

Kempen itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam pada 15 April ini bertujuan untuk memberi kesedaran supaya orang ramai membuat kebaikan.

Selain Ismail, #StandTogether bakal membariskan selebriti lain seperti Lisa Surihani, Harith Iskander, Arwind Kumar, Daiyan Trisha, Jenn Chia, Talitha Tan dan ramai lagi.

Turut terlibat ialah isteri kepada Harith, Dr Jezamine Lim yang juga pernah menjadi mangsa buli sewaktu zaman persekolahannya suatu ketika dahulu.

Harith Iskander bersama isterinya, Jazemine

Jezamine dihina mata kecil

Dalam pada itu Jezamine berkata, semasa di zaman persekolahan dia dihina kerana matanya kecil sebelah.

Perkara itu menurut Jazemine memberi kesan kepada dirinya menyebabkan dia terasing daripada orang lain di sekolah.

"Saya selalu dibuli kerana mata saya kecil sebelah, lepas tu mereka juga hina bentuk hidung saya. Perkara ini memberi kesan sangat mendalam sehingga saya jadi seorang yang pendiam di sekolah," kata Jezamine.

Selain pelbagai pengisian menarik dalam kempen itu, pengunjung juga berpeluang mendengar perkongsian dari hati ke hati selebriti terkenal mengenai kisah mereka dibuli dan bagaimana mereka bangkit sehingga menjadi individu berjaya hari ini.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu turut menghimpunkan aktiviti seperti karnival permainan, trak makanan, bazar, pameran dan permainan Petrosains serta taklimat pendidikan untuk guru-guru dan ibu bapa.

Lebih menarik, pengunjung akan disajikan dengan demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Muay Thai dan campuran seni mempertahankan diri (MMA).

StandTogether, Ismail Izzani

Artikel Lain