suria

Isteri garang semacam, tak mungkin Nabil kahwin dua

Nak jaga bini seorang pun susah, apatah lagi nak kahwin dua kata Nabil. FOTO: KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Sepanjang tujuh tahun bergelar suami kepada Nazirah Ayub atau Zira, pelawak Nabil Ahmad berkata dia tidak pernah terfikir untuk berpoligami atau menduakan isterinya itu.

Menurut Nabil, 34, dia menyedari kekurangan diri dan berasakan kehadiran wanita itu sudah cukup melengkapi hidup mereka sekeluarga.

"Sejujurnya tak pernah terfikir nak kahwin atau tambah isteri lagi sebab yang ada seorang ni pun dah cukup.

"Saya sedar kemampuan diri dan belum cukup sempurna untuk memegang amanah berat itu. Ilmu agama pun tak banyak, jadi jangan sibuk berangan nak tambah isteri pula.

Antara mereka yang terlibat dalam Inspirasi Yes. FOTO: Kamarul Ariffin.

"Ada dua isteri ni bukan senang ya. Yang seorang ni pun tak mampu nak kawal, garang semacam, rasanya cukuplah!," katanya kepada mStar Online.

Nabil ditemui pada majlis pelancaran MVTV Asia - Inspirasi YES Malaysia yang diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Isnin.

Hadir memeriahkan majlis adalah Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi Dewan Perniagaan Artis, Datuk Shahrul Nizam Yunos, Ketua Pegawai Eksekutif MVTV Asia, Sara Leana Nattaya Azmi, ikon-ikon YES Malaysia, jemputan lain dan rakan-rakan media.

Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (empat dari kanan) dan Ketua Pengarah Eksekutif MVTV Asia, Sara Leana Nattaya Azmi (tiga dari kanan) bersama para selebriti Inspirasi YES Malaysia. Foto: FINAS

Dalam program tersebut, Nabil dipilih menjadi ikon belia hiburan dan akan berkongsi mengenai kerjaya dan kejayaan menerusi platform penyiaran digital baharu iaitu MVTV Asia.

Selain Nabil, selebriti lain yang turut diangkat sebagai ikon ialah Farah Nabilah, Elfira Loy, Ernie Zakri, Zul Huzaimy, Dasha Logan, Jacqueline Ch'ng dan Roshan Nair.

Sementara itu, pengacara program Gegar Vaganza ini bimbang jika isu keruntuhan rumah tangga membuatkan kehidupan anak-anak musnah.

Nabil bersama isteri dan anak-anaknya. FOTO: Instagram Nabil.

"Saya pernah mendengar cerita kebanyakan penghuni pusat pemulihan akhlak adalah anak-anak yang berdepan dengan krisis perpisahan ibu bapa.

"Saya tak mahu jika hal tersebut berlaku membuatkan anak turut melalui perkara sama disebabkan ibu bapa yang bermasalah. Saya kasihan dan tak mahu anak jadi mangsa," katanya.

Nabil dan Zira berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3 tahun.

KAMARUL ARIFFIN
Nabil Ahmad

Artikel Lain