suria

Neelofa, Hans Isaac bersatu tangani buli siber

Selebriti Neelofa dan Datuk Hans Isaac bergabung tenaga bagi menjayakan Kempen Anti Buli Siber pada Majlis Pelancaran Kempen Anti Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu pada Selas. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selebriti terkenal tanah air bergabung tenaga bagi menjayakan kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' di media sosial.

Pelakon dan pengacara Neelofa yang mewakil semua selebriti terlibat memberitahu kempen tersebut dibuat bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyebaran berita palsu dan fitnah yang dilihat semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Mengangkat tema 'Sebar Fakta Bukan Dusta dan 'Aku Bersamamu', Neelofa berkata, objektif lain kempen tersebut diadakan bagi menyebarkan maklumat kepada pengguna laman sosial dalam mempertahankan diri mereka sekiranya menjadi mangsa buli siber.

"Sesetengah orang merasakan menjadi tanggungjawab mereka untuk 'menasihati' orang lain di media sosial tetapi cara digunakan adalah salah.

Selebriti terkenal tanah air turut bergabung tenaga menyokong kempen tersebut. 

"Tanpa disedari mereka sebenarnya telah melukai hati dan membuli orang lain dengan kata-kata digunakan.

"Perkara ini yang ingin kami ubah agar masyarakat lebih peka tentang bahayanya buli di media sosial," katanya.

Neelofa ditemui pada majlis pelancaran kempen berkenaan yang dianjurkan bersama pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac pada pagi Selasa.

Kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Pasangan Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya turut menyokong kempen anti buli siber.

Turut hadir pada acara itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Ekskutif Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Antara artis yang turut hadir bagi menyokong kempen itu termasuk Nora Danish, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Maya Karin, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Caprice, Adibah Nor, Atilia Haron, Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, idea untuk mengadakan kempen itu timbul selepas dia berbual-bual dengan keluarga dan rakan selebriti mengenai tindakan buli siber di media sosial.

Katanya lagi, topik berkenaan sangat dekat dengan dirinya kerana sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang seni, banyak yang telah dilaluinya.

Neelofa berharap kempen tersebut dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna media sosial tentang bahaya buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

"Kritikan negatif dan kecaman bukan sesuatu perkara baru. Itu belum lagi berita palsu disebarkan sewenang-wenangnya.

"Sampai ada ketika saya fikir kenapa masyarakat lebih mengenali saya daripada saya mengenali diri sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Neelofa berkata, dia bersama barisan selebriti yang lain komited dengan kempen ini dan berharap ia dapat membuka mata masyarakat mengenai isu tersebut.

"Mungkin kami tidak mampu menyelesaikan masalah ini secara total tetapi anggaplah ia sebagai satu permulaan positif dan budaya sihat," katanya.

Artikel Lain