suria

“Saya ampunkan mereka!” - Shahrol (Shiro)

Shahrol Shiro pernah menjadi mangsa fitnah apabila dia dikatakan sudah meninggal dunia.

PELAWAK Shahrol (Shiro) tidak pernah terfikir untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pembuli siber yang pernah memfitnahnya termasuk dia dikatakan sudah meninggal dunia sebelum ini.

Shahrol, 33, sebaliknya berkata, selagi boleh bersabar dia memilih untuk memaafkan perbuatan mana-mana pihak kerana tidak mahu mereka mencarinya di akhirat kelak.

"Memang berita mengatakan saya meninggal dunia sangat menyakitkan hati saya tetapi saya memilih untuk memaafkan pihak yang membuat fitnah itu.

"Saya ampunkan mereka kerana tidak mahu mereka mencari saya di akhirat nanti," katanya.

Shahrol ditemui pada majlis pelancaran kempen 'Akhir Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' atas inisiatif pelakon Neelofa dan Datuk Hans Isaac pada Selasa.

Barisan artis yang terlibat dalam kempen buli siber dan penyebaran berita palsu.

Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan turut hadir memberi sokongan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Ekskutif Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Antara artis yang terlibat dalam kempen itu termasuk Nora Danish, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Caprice, Adibah Nor, Atilia Haron, Afdlin Shauki dan Maya Karin.

Mengimbau mengenai kejadian dia dikatakan meninggal dunia, Shahrol berkata, ketika itu dia dimasukkan ke sebuah hospital di Johor akibat masalah sinus.

Kata Shahrol, keadaan bertukar kecoh apabila adiknya yang membaca berita tersebut di sebuah blog bergegas pulang ke Johor dari Seremban selepas tidak dapat menghubunginya.

"Saya ketika itu berada di hospital dan talian telefon juga ditutup kerana tidak mahu diganggu selain ingin berehat.

Shahrol bersama Datuk Hans Isaac.

"Bayangkan adik saya menangis balik ke Johor selepas mengetahui berita yang dibacanya dan kalau apa-apa terjadi kepadanya siapa akan bertanggungjawab?

"Ini bahayanya berita palsu dan fitnah di media sosial kerana ia melibatkan banyak pihak lain dan macam-macam perkara boleh berlaku," jelasnya.

Sementara itu, Shahrol berkata, dia bersetuju melibatkan diri dalam kempen tersebut kerana merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan sesuatu supaya isu buli siber dan penyebaran berita palsu dapat dibendung.

"Artis kena fitnah dan jadi mangsa buli seperti sudah menjadi perkara biasa tetapi kita juga boleh memainkan peranan untuk menghentikan perkara ini.

"Itu perlu mula daripada generasi kita dahulu sebab kebangkitan dunia media sosial sangat hebat dan bimbang ia menjadi perkara biasa dalam kalangan generasi seterusnya," katanya.

Shahrol Shiro

Artikel Lain