suria

Jumpa rakan minta dimainkan lagu tidak dilayan, Bienda akhirnya merajuk

Bienda merajuk dari industri muzik disebabkan albumnya tidak mendapat sambutan.

PENYANYI Bienda pernah merajuk dari industri muzik disebabkan albumnya tidak mendapat sambutan dan sokongan daripada rakan-rakan.

Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 33, berkata dia pernah menghantar albumnya  ke stesen radio namun lagunya tidak diputarkan.

"Kita sebagai artis, mestilah masih nak menyanyi tapi tak dapat sokongan. Saya pernah hubungi rakan yang kenal masa dia mula jadi penyampai radio.

"Bila mereka panggil artis untuk datang konti, saya pergi tanpa minta bayaran sebab alang-alang boleh promosi sekali.

"Tapi bila saya hantar sendiri pada mereka, lagu tidak dimainkan. Sekurang-kurangnya beritahu kenapa.

Bienda kecewa album tidak dapat sambutan.

"Sejak itu, saya berhenti sekejap dari industri sebab merajuk," kata Bienda kepada mStar Online.

Kali terakhir Bienda mengeluarkan album pada tahun 2009 menerusi album Kenaliku dan selepas itu dia 'menghilangkan' diri daripada industri muzik.

Selepas hampir sembilan tahun, akhirnya Bienda kembali muncul dengan single terbaharu, Jaga Hati yang mempunyai susunan muzik berbeza.

"Kemunculan semula saya kali ini tampil dengan muzik yang berlainan. Masih mengekalkan imej yang sama hanya genre yang sedikit beza.

"Saya pilih genre muzik ini sebab ingin mengikut peredaran juga. Saya harap sangat pendengar dapat terima lagu ciptaan DJ Fuzz ini," ujarnya.

Bienda disamping pengasas jenama pakaian Clarissa.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Penantian ini bersyukur apabila jenama pakaian Clarissa sudi menaja sepenuhnya video muzik lagu tersebut.

Video muzik tersebut telah menjalani penggambaran di sekitar Pulau Lombok, Indonesia pada awal Mac lalu.

"Alhamdulillah, kebetulan masa saya dah ada rancangan nak muncul semula dalam industri, ada rezeki lain yang datang.

"Saya diperkenalkan oleh rakan dengan pengasas jenama pakaian Clarissa. Mereka memerlukan model dan duta untuk koleksi raya.

"Bekerjasama dengan mereka sangat mudah. Mereka juga menawarkan untuk menaja video muzik lagu terbaru saya," Katanya.

Bienda dan Clarissa berkolaborasi menerusi koleksi baju raya Clarissa X Bienda yang boleh didapati di pasaran.

Bienda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain