suria

Aktiviti ‘make over’ buat pesakit kanser lebih kuat - Elyana

Elyana mahu bertemu pesakit kanser dan menjalankan aktiviti menarik bersama mereka. Foto: QARAMI HASHIM

PENYANYI Elyana memberitahu dia mempunyai perancangan untuk bertemu pesakit kanser terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 31, berkata, dia sudah lama mengimpikan peluang tersebut dan berharap pertemuan itu memberi semangat kepada mereka yang berdepan penyakit tesebut.

"Saya memang ada berniat nak bertemu dan berkumpul dengan pesakit kanser terutamanya wanita dan kanak-kanak.

"Mungkin kita boleh buat aktiviti make over, tatarias imej dan sebagainya bagi memberi mereka semangat baharu. Perempuan ni kalau mereka cantik, mereka akan lebih berkeyakinan dan jadi positif.

"Saya juga mahu berbual dengan keluarga pesakit dan berkongsi pandangan daripada sudut psikologi supaya mereka dapat membantu pesakit ini menjadi lebih kuat," katanya kepada mStar Online.

Elyana ditemui ketika sidang media majlis pelancaran tabung kanser Elyana dan tabung amal silaturahim rakan-rakan rockers otai Klang di Restoran Spoon Steakhouse, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Khamis.

Elyana mahu pesakit kanser kekal positif dan bersemangat.

Tabung khas tersebut diwujudkan bersempena Karnival Puspanita Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018 yang bakal diadakan di Putrajaya pada 12 Mei depan.

Bercakap mengenai tabung amal tersebut, Elyana berkata, dia terharu apabila pihak Puspanita KPM menyatakan minat memberikan sumbangan berbentuk kewangan.

Bagaimanapun, Elyana menjelaskan dia bukannya meminta simpati, sebaliknya menganggap bantuan itu sebagai tanda masih ada yang prihatin terhadap dirinya ketika dia sedang berdepan penyakit kanser limfoma tahap empat.

"Saya terharu apabila ada pihak yang sudi mewujudkan tabung khas untuk saya dalam karnival yang bakal berlangsung 12 Mei ini.

"Saya bukan meminta simpati, cumanya apabila tawaran ini datang saya berasakan ia satu penghargaan. Orang nak bantu kita, jadi saya terima dengan hati terbuka. Insya-Allah bantuan ini saya akan hulurkan kepada pesakit kanser yang lain juga.

Elyana (kanan) bersama Pengerusi Puspanita KPM, Datin Seri Azizah Sulaiman (kiri sekali) dan penyanyi rock otai.

"Matlamat utama saya adalah untuk membuka mata masyarakat mengenai penyakit kanser dan berharap mereka yang menderita sakit ini akan jadi kuat dan positif seperti saya juga," katanya.

Setiap penyertaan untuk acara Srikandi Run, sebanyak RM1 akan diserahkan kepada tabung Elyana dan tabung itu juga akan dibuka sepanjang karnival itu berlangsung.

Sebelum ini, Elyana mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan dia menghidap kanser tahap empat ketika membuat ucapan selepas tersingkir daripada meneruskan pertandingan program Gegar Vaganza tahun lalu.

Elyana berkata, dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu.

Elyana

Artikel Lain