suria

Malaysia negara Asia Tenggara dikunjungi, konsert Helloween 28 April ini

KUMPULAN power metal berasal dari Hamburg, Jerman iaitu Helloween tetap akan meneruskan konsert pertama mereka di negara ini kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dikunjungi dalam konsert anjuran RSVP Media itu.

Menurut wakil pihak penganjur, Shamsul Kamal Othman, konsert itu akan menjadi sejarah kerana akan menggabungkan sebahagian besar anggota-anggota asal Helloween serta kumpulan Gamma Ray yang juga berasal dari Hamburg.

“Setakat ini, Malaysia masih lagi menjadi satu-satunya negara yang akan dikunjungi oleh Helloween bagi mengadakan konsert di rantau ini. Kami jangka peminat dari Singapura, Indonesia dan Thailand akan datang menyaksikan konsert itu nanti,” katanya kepada mStar Online.

Menariknya, konsert yang dikenali sebagai Pumkins United World Tour 2017-2018 ini akan menyaksikan kumpulan itu menyampaikan lagu-lagu lama mereka yang dipetik daripada album-album lama popular pada era tahun 1980-an.

Ia akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 April ini iaitu lokasi baharu yang mana sebelum ini penganjurannya dirancang di Dewan MAEPS, Serdang, Selangor.

Jelas  Shamsul Kamal lagi, konsert itu pula merupakan yang pertama dan mungkin terakhir buat Pumkins United kerana agak sukar untuk pihaknya menggabungkan tujuh anggota asal dua kumpulan itu di atas satu pentas yang sama di negara ini.

Para peminat tempatan juga katanya bertuah kerana Malaysia menjadi satu-satunya destinasi pilihan kumpulan power metal terkemuka itu mengadakan konsert berkenaan.

Konsert Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia dianjurkan bersama Malaysia Autoshow itu dijangka mampu memuaskan hati para peminat mereka dalam persembahan yang akan diadakan selama dua jam tanpa henti.

Pumkins United  akan menggabungkan anggota-anggota asal Helloween iaitu Weikath, Kiske, Hansen, Grosskopf dan turut di bantu Andi dan Michi selaku vokalis, Kai Weiki serta Sascha selaku gitaris dan Markus selaku bassis, manakala Dani pula bertindak selaku pemain dram.

Kali terakhir Helloween berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada konsert sulung mereka di Fort Canning, Singapura pada 24 Februari 2008 yang disaksikan hampir 5,000 peminat.

Helloween yang pada mulanya dikenali sebagai Gentry, Second Hell dan Iron Fist itu telah mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia sejak ditubuhkan  yang mana mereka sezaman dengan kumpulan legenda dari Jerman seperti Destruction, Kreator dan Tankard.

Sebelum mengadakan konsert di Malaysia, Helloween akan akan mengadakan persembahan mereka di Jepun, Rusia dan Ukraine selain turut diadakan di negara-negara seperti Itali, Sweden, Norway, Finland dan beberapa buah lagi negara.

Helloween mula tampil dengan album pertama yang telah diterbitkan pada tahun 1985 bertajuk Walls Of Jericho selain beberapa buah album lain termasuk Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath dan Better Than Raw.

Para peminat boleh mendapatkan tiket berharga antara RM195 hingga RM800 (pembelian awal telah berakhir pada 18 Mac lalu), manakala RM295 sehingga RM900 iaitu selepas promosi pembelian awal itu berakhir.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket dan konsert boleh hubungi 03-78807999.

Helloween

Artikel Lain