PETALING JAYA: Pelakon Dynas Mokhtar selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Syazrik Din dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, berlangsung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu. Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Dynas iaitu Datuk Wan Mokhtar Wan Mohamad dengan mas kahwin RM1,001. Pelakon drama Susuk itu menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dengan wang hantaran RM10,000. Tahniah Dynas bergelar isteri dengan sekali lafaz. FOTO Lifestyle weddings.co Majlis sederhana itu dihadiri kira-kira 100 jemputan termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja. Dalam pada itu Dynas yang ditemui pada sidang media memberitahu dia tetap berasa gementar biarpun pernah berkahwin sebelum ini. Tambahnya, dia mengalirkan air mata selepas ibu iaitu Datin Rasiah Shaharuddin memeluk dan memberi kata-kata istimewa padanya. “Debaran dan gementar tu sudah semestinya saya rasai. Tapi Alhamdullilah syukur semuanya berjalan dengan lancar. “Hanya sekali lafaz sahaja. Saya menangis pun selepas ibu peluk dan beri kata-kata yang menyebabkan saya tidak dapat menahan rasa sebak,” kata Dynas kepada mStar Online Manakala, majlis bertandang akan diadakan pada 28 April depan di Damansara, Petaling Jaya dan disusuli majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan. Sebelum ini, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu. Dynas mempunyai dua orang anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, 6, menerusi perkahwinan terdahulu.