suria

Mulanya bimbang duit tak cukup - Syafiq Farhain

Syafiq bimbang soal kewangan apabila diarahkan untuk berpindah ke pejabat pengurusan bomba. Foto Instagram: @syafiqfarhain.

PENYANYI Syafiq Farhain mengakui pada awalnya dia bimbang mendapat arahan untuk berpindah ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di Putrajaya.

Menurut Syafiq, 24, perasaan itu timbul disebabkan dia sudah selesa dengan kehidupan yang dilalui ketika bertugas di Johor Bahru.

"Mula-mula bila dapat tawaran untuk pindah ke pejabat pengurusan saya dah rasa takut. Bukan apa, saya bimbang soal kewangan yang tidak mencukupi.

"Kalau ikutkan memang kehidupan saya di Johor itu berada dalam keadaan stabil. Lepas tu, saya dah kena fikir bayar duit rumah, duit kereta dan keperluan lain yang bertambah.

Syafiq kini bertugas di Putrajaya.

"Tapi Alhamdulillah, rezeki semakin bertambah dan kehidupan saya di sini tidak ada masalah," kata Syafiq kepada mStar Online.

Syafiq bertugas di Putrajaya sejak setahun lalu selepas lima tahun berkhidmat dalam badan uniform itu.

Tambah Syafiq, dia ada berasa rindu untuk melakukan tugasan luar dan membantu masyarakat.

"Mestilah rindu nak turun padang tolong masyarakat. Sekarang sudah setahun saya bertugas di bahagian pengurusan di sini.

Syafiq tampil dengan single pertama berjudul Kamar Hati.

"Di sini saya menguruskan aset-aset bomba dan hanya berada di pejabat sahaja sepanjang hari," ujarnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur dapat memberi perhatian terhadap bidang nyanyian.

"Tapi saya berasa syukur juga dipindahkan sebab dapat fokus kerja dan nyanyian dalam masa yang sama.

"Ada juga masa untuk saya menyanyi. Kalau dulu, susah juga nak bahagikan masa. Alhamdulillah, sekarang perjalanan itu lebih mudah," katanya.

Syafiq kini tampil dengan single berjudul Kamar Hati yang sudah dilancarkan menerusi laman YouTube pada 22 Februari lalu.

Syafiq Farhain

Artikel Lain