suria

Terpukau dek penangan One Republic

Kumpulan One Republic menggegarkan Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada malam Rabu.

KUMPULAN pop rock terkenal Amerika Syarikat One Republic tampil penuh gaya menerusi konsert ketiga mereka di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Tampil di pentas tepat pukul 8.45 malam, vokalis One Republic iaitu Ryan Tedder muncul di hadapan piano mengalunkan lagu pembukaan berjudul Stop and Stare daripada album pertama mereka, Dreaming Out Loud yang dihasilkan pada 2007.

Lagu itu dipilih sebagai tanda 10 tahun kumpulan yang turut dianggotai oleh Zach Filkins (gitar/vokalis), Drew Brown (gitar), Eddie Fisher (dram) dan Brent Kutzle (bes/cello/vokalis) itu.

Persembahan pembukaan bertenaga itu diteruskan dengan lagu Secrets, Kids dan Good Life yang memperlihatkan Brent menunjukkan aksinya bermain cello dihadapan 10,000 penonton pada malam tersebut.

10,000 penonton membanjiri Stadium Merdeka pada malam Rabu.

Sebelum meneruskan persembahan, Ryan sempat melahirkan rasa terujanya dapat kembali mengadakan konsert di negara ini selain terpukau dengan pemandangan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar KLCC dihadapannya.

"Ini malam yang menakjubkan! Terima kasih kerana memilih untuk berada di sini bersama kami. Kuala Lumpur sebuah bandar yang mengagumkan, tiga kali berada di sini membuatkan perasaan sayang semakin bertambah.

"Cuba lihat pemandangan Menara KL dan KLCC di hadapan saya, ia cukup mengagumkan," katanya.

Malah secara bergurau, Ryan cuaca di Kuala Lumpur yang panas memberi kelebihan kepadanya untuk menurunkan berat badan.

Ryan mendedahkan One Republic telah menyiapkan dua buah lagu baharu ketika di Kuala Lumpur. 

"Dua kali datang sebelum ini hujan, nasib baik kali ini cuaca baik tetapi panas!

"Rasanya berat badan saya akan turun lima kilogram untuk malam ini sahaja dan ia sebenarnya berita baik," guraunya.

Tidak menunggu lama, Ryan bersama anggota lain meneruskan persembahan dengan lagu hit lain mereka seperti Wherever I Go, Better dan Feel Again yang membuat penonton semakin 'menggila'.

Sementara itu, Ryan menarik perhatian penonton apabila menyanyikan lagu popular Beyonce berjudul Halo yang digubahnya untuk penyanyi R&B terkenal itu.

Peminat turut menyanyi bersama One Republic.

Malah One Republic turut menyampaikan lagu Wake Me Up sebagai tribut kepada DJ terkanal Avicii yang meninggal dunia pada 20 April lalu.

Konsert pada malam itu semakin hangat apabila One Republic mendendangkan lagu All The Right Moves dan Born To Race sebelum Ryan turun dari pentas untuk menyapa peminatnya sambil menyanyikan lagu Sometihing I Need.

Penyanyi itu turut mendedahkan mereka kini sedang dalam proses pembikinan album terbaharu mereka dan sudah menyiapkan dua buah lagu yang digubah ketika berada di Kuala Lumpur.

Saat dinantikan peminat akhirnya tiba apabila Ryan menerusi petikan piano mengalunkan lagu yang memperkenalkan nama mereka di seluruh dunia, Apologize yang turut dinyanyikan oleh semua peminat di dalam stadium.

Persembahan bertenaga One Republic menjadi kenangan manis buat peminat.

Kumpulan itu mengakhiri persembahan mereka dengan lagu yang menjadi tema peminatnya iaitu Counting Stars dan Love Runs Out dan ia menjadi pengakhiran terbaik pada malam itu.

One Republic Live in Malaysia dianjurkan oleh WGW Entertainment dan disokong oleh Malaysia Major Events (MME), satu bahagian Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

One Republic bakal mengakhiri konsert jelajah di Asia menerusi persembahan di Festival Grammy di Beijing, China pada 30 April ini.

One Republic

Artikel Lain