suria

Wani Kayrie perlu RM20,000! Ada sesiapa mahu taja?

Wani menerima anugerah Pelajar Cemerlang selepas mendapat keputusan 7A dalam SPM. Foto Instagram @wanikayrie.

PETALING JAYA: Penyanyi Wani Kayrie memberitahu dia memerlukan wang sebanyak RM20,000 untuk menanggung kos perbelanjaan bagi menyertai pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat pada Julai depan.

Wani, 18, berkata, dia berharap ada pihak yang sudi menajanya menyertai pertandingan itu bagi membolehkan dia membuat persediaan termasuk membeli tiket penerbangan, penginapan ketika berada di negara itu nanti.

"Setiap peserta memerlukan lebih kurang RM28,000 untuk menampung semua kos perbelanjaan ketika bertanding nanti dan Alhamdulillah ada pihak yang sudi menaja saya.

Wani masih memerlukan RM20,000 untuk tanggung kos perbelanjaan.

"Bagaimanapun sekarang saya masih kekurangan RM20,000 dan jika ada yang sudi memberi tajaan itu, saya sangat mengalu-alukan.

"Kalau tiada, tidak mengapa Insya-Allah saya dan keluarga akan usahakan juga," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Pertandingan nyanyian itu bakal diadakan di Long Beach, California selama 10 hari bermula 5 hingga 15 Julai depan.

Wani antara 15 orang peserta yang dipilih mewakili Malaysia bersaingan dengan 63 negara di pentas WCOPA.

Wani terima anugerah kecemerlangan.

Dalam pada itu, pemilik nama Syazwani Abdullah ini memberitahu dia sanggup menangguhkan niat untuk menyambung pelajaran demi mewakili nama Malaysia.

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya akan mewakili Malaysia untuk ke Hollywood bagi menyertai pertandingan WCOPA pada Julai depan.

"Disebabkan itu saya terpaksa lupakan niat untuk menyambung pelajaran pada tahun ini dan beri tumpuan pada bidang nyanyian," ujar.

Penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini turut memuat naik foto dia menerima anugerah pelajar cemerlang selepas mendapat 7A, 1B, 1C pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Wani Kayrie

Artikel Berikut

Artikel Lain