suria

Pelakon wanita popular khayal ketika ditahan polis

Seorang pelakon wanita berusia 25 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah. (Foto hiasan)

KUALA LUMPUR: Pelakon popular yang ditahan polis selepas ditemui dalam keadaan khayal berserta sejumlah dadah sintetik yang dipercayai jenis Erimin 5 sebanyak 53 biji dalam tas tangan berjenama miliknya pada Ahad dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dadah yang ditemui dianggarkan bernilai RM660 selain ujian saringan awal air kencing terhadap aktres itu juga didapati negatif.

Tambah Mazlan, kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

Sumber polis berkata, artis itu yang berasal dari Kelantan dipercayai melanggar kenderaan seorang lelaki Cina di Taman Tun Dr Ismail di sini sebelum lelaki tersebut menghubungi pihak polis kira-kira pukul 11.45 pagi.

"Ketika anggota peronda polis tiba, artis itu didapati berada dalam keadaan khayal menyebabkan seorang anggota polis terpaksa memandu kenderaannya untuk dibawa ke balai," kata sumber.

Mazlan sebelum itu mengesahkan penahanan aktres tersebut bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Pelakon, Dadah

Artikel Lain