suria

“Penyakit ini sudah dua tahun tidak menyerang” - Firman akhirnya menyanyi atas kerusi

Firman terpaksa menahan sakit ketika membuat persembahan.

PENYANYI dari Indonesia iaitu Firman Siagian terpaksa menyanyi di atas kerusi apabila secara tiba-tiba dia mengalami slipped disc atau kegelinciran pada tulang belakangnya.

Kejadian itu berlaku dalam Karnival OK Bersama Rakyat anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di perkarangan pusat beli-belah Giant, Kuala Selangor pada malam Sabtu.

Ia terjadi beberapa minit sebelum namanya dipanggil menyebabkan dia tiada pilihan lain sehinggalah terpaksa duduk di atas kerusi bagi membuat persembahan secara akustik walaupun dalam keadaan sakit.

“Sudah dua tahun penyakit ini tidak berlaku selepas saya berubat secara tradisional di Indonesia sebelum ini. Ia amat menyakitkan,” katanya kepada mStar Online.

Firman berkata penyakit 'slipped disc' dialaminya amat menyakitkan.

Kejadian itu menyebabkan Firman, 40, terpaksa dipapah oleh pembantunya sebelum dan selepas persembahan.

Namun begitu Firman mampu menyanyi dengan mempersembahkan lagu Rindu Serindu-Rindunya dan Kehilangan.

Ia bukan kali pertama kejadian itu berlaku kerana perkara serupa pernah terjadi ketika dia mahu mengadakan sebuah acara besar di Singapura dan juga di Kuala Lumpur tidak lama dulu

Dalam pada itu Karnival OK yang kali kedua diadakan ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk Kuala Selangor dengan penglibatan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Khai Bahar melayan para peminatnya.

Jika minggu lalu ia berjaya menggamatkan suasana di Wangsa Maju dan penganjuran yang sama di Kuala Selangor ini mendapat sambutan baik.

Selain Firman, antara artis yang terlibat ialah I Am Neeta, Tegar, Najwa Latif, Khai Bahar dan artis lama iaitu Salwa Abdul Rahman.

Pelakon Khaty Azean pula bertindak sebagai pengacara.

I Am Neeta membuka pentas persembahan dengan menyampaikan lagu Takut, Jatuh Cinta dan Terima Kasih manakala Salwa pula mampu menambat hati penonton seangkatannya apabila mendendangkan lagu Gadis Dan Bunga, Wulan Merindu dan 1,2 Kau.

Penyanyi Tegar pula mempersembahkan lagu  Aku Mahu Pacaran, Kau Yang Terbaik dan Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang.


Tegar turut mendapat perhatian ramai.

Ia diikuti oleh Najwa Latif menyampaikan lagu Jauh, Kosong dan Sahabat.

Kehadiran Khai Bahar mendapat sambutan luar biasa penonton yang jarang-jarang dapat menyaksikan persembahannya.

Dia menyanyikan lagu Luluh, Azura dan Bayang.

Selain persembahan hiburan, pihak penganjuur turut menyediakan cabutan bertuah dengan bayaran RM10 yang menyediakan hadiah berupa barangan elektirk dan beberapa buah basikal.

Najwa Latif (kanan) dan  Neeta, anggota kumpulan I Am Neeta.

Dalam pada itu Timbalan Presiden PTVM, Datuk A. Aida berkata, karnival berkenaan benar-benar dapat mendekatkan hubungan antara selebriti dengan penduduk tempatan.

Ujar A. Aida, pihaknya berhasrat menganjurkan acara seumpama itu pada masa hadapan sebagai sebahagian usaha khidmat masyarakat membabitkan artis dan orang ramai.

“Tahun ini acaranya agak ‘last minute’ tetapi kami memang merancang untuk meneruskan karnival seperti ini pada masa hadapan,” jelasnya.

Firman, Karnival OK

Artikel Lain