PETALING JAYA: Penyanyi Shiha Zikir mengakui gemar menyunting fotonya agar kualitinya lebih cerah daripada asal sebelum ia dimuat naik ke laman sosial. Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 31, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah menyunting bentuk fizikalnya semata-mata untuk kelihatan menarik dalam gambar. "Sejujurnya saya memang suka menyunting gambar tapi sekadar untuk menampakkan gambar itu lebih cerah. "Sebab itu kalau ada orang komen cakap saya makin putih, saya mesti cakap hanya kesan suntingan yang lebih terang. "Tapi saya tak akan ubah foto bentuk fizikal sampai nak kecilkan pinggang atau besarkan apa-apa," kata Shiha kepada mStar Online. Status yang dimuat naik Shiha di Instastorynya. Shiha ada memuat naik mesej peribadi daripada seorang netizen yang mengatakan foto bentuk badannya di bahagian pinggang dan dada kelihatan pelik dan tidak sesuai dengan dirinya. Kata penyanyi Jagakan Dia ini, dia hanya mampu ketawa membaca komen netizen yang mempunyai masa berfikiran negatif. "Saya ada ternampak orang komen di foto saya itu tapi hanya biarkan sahaja. Tapi apabila periksa mesej peribadi di Instagram ada wanita berkata sebegitu pada saya. "Saya hanya tergelak sebab ada masa juga dia nak fikir bukan-bukan. Kalau betul memang ada orang suka sunting gambar, rasanya tak perlu masuk campur urusan orang itu. "Tak perlu nak membawang dan tuduh orang macam-macam. Selagi perkara itu tidak ada kena mengena dengan anda," ujarnya. Shiha muat naik foto asal dan selepas disunting menjadi lebih cerah. Dalam pada itu, Shiha berharap masyarakat Malaysia berhenti berkata tentang orang lain dan meninggalkan komen negatif. "Saya harap sangat masyarakat Malaysia yang suka komen negatif itu berhenti daripada melakukan perkara itu. "Kalau boleh, macam mana sekali pun jangan komen bukan-bukan sebab nanti macam mana nak minta maaf pada orang itu kalau apa yang dikatakan tidak betul. "Mesti ada yang kata saya macam baik sangat saja tapi sebabkan kita ini tak baik itu yang rasa tak payah nak cakap bukan-bukan. "Nanti kalau kita dah meninggal, macam mana nak minta maaf dengan orang itu," katanya.