TINDAKAN pelakon Datuk Adi Putra menyata sokongannya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan menerima kecaman netizen. Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 37, yang sebelum ini pernah berkongsi informasi dia sudah menjadi warganegara Malaysia secara terbuka memilih parti Barisan Nasional (BN). Rata-rata netizen menyerang Instagram pelakon itu yang menyifatkan dia sebagai tidak mempunyai pendirian atau 'lalang'. Pelakon filem KL Gangster itu yang berasal dari Singapura memuat naik foto Tun Mahathir pada Khamis menerima hampir 600 komen netizen. Status Adi dapat perhatian netizen. "Tahniah @chedetofficial Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang ke 7, Semoga Terus membina Negara Harapan dan membela agama, bangsa dan tanah air tercinta. Dan sentiasa dilindungi Allah SWT. Allah Hu Akhbar. Ameen," tulisnya. Sementara itu, segelintir netizen turut meminta kerajaan baharu di bawah PH itu menyiasat bagaimana aktor berkenaan memiliki kad pengenalan yang mengiktiraf dia sebagai warganegara Malaysia. "Dahlah lalang, bukan 'Malaysian' senang-senang jer dapat IC biru. Cuba siasat macam mana dia nih boleh dapat IC biru," ujar netizen. Sebelum ini, aktor itu aktif menyatakan sokongan dan berkempen untuk beberapa calon BN.