suria

Kahwin bukan lagi matlamat Tasha Shilla

Tasha Shilla enggan lagi mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.

PELAKON kontroversi Tasha Shilla tidak lagi meletakkan perkahwinan sebagai sasaran utama dalam kehidupannya biarpun usianya kini sudah memasuki 31 tahun.

Sebaliknya kata pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abdul Razak ini, tumpuannya kini adalah untuk memberi tumpuan kepada karier seni selain menjalani kehidupan tenang tanpa membebani dengan hal berkaitan jodoh.

"Dulu saya akui sasaran saya adalah untuk berkahwin dan mempunyai keluarga namun impian itu tidak menjadi sehingga menyebabkan saya berasa tertekan.

"Tetapi itu dahulu! Sekarang saya sudah tidak memikirkan soal itu kerana matlamat utama saya sekarang adalah untuk berjaya dalam karier.

"Kalau ada jodoh... adalah. Saya tak mencari pun sebenarnya," katanya.

Tasha ingin fokus pada karier seni.

Ditanya sama ada dia kini sedang berkawan rapat dengan mana-mana jejaka, Tasha bagaimanapun memilih untuk tidak bercakap tentang soal peribadinya.

Kata Tasha, isu dan kontroversi mengenai hubungannya yang terdahulu banyak mengajarnya agak lebih bersikap berhati-hati dalam bercakap soal hubungan.

"Apa yang boleh saya kongsikan, berkawan itu adalah tetapi selebihnya baiklah saya simpan untuk diri sendiri melainkan kalau saya ingin berkahwin.

"Tak mahulah bercakap soal peribadi bimbang kalau tak jadi, ia menjadi bahan bualan tidak baik masyarakat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha memberitahu drama lakonan terbaharunya, Air Mata Syurga sedang ditayangkan pada setiap hari Isnin dan Selasa, 9 malam menerusi saluran HyppSensasi (116), Unifi TV.

Drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Afiq Muiz, Haliza Misbun, Elly Suriati dan ramai lagi.

Tasha Shilla, Air Mata Syurga

Artikel Lain