suria

Berkat solat hajat, doa ibu faktor kemenangan Fitri Haris

Fitri membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Juara program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV) iaitu Fitri Haris memberitahu kemenangannya pada malam Sabtu dibantu oleh doa dan solat hajat yang dilakukan oleh ibunya.

Fitri, 34, berkata, ia merupakan perkara biasa yang dilakukan ibunya setiap kali dia memasuki mana-mana pertandingan selain menyifatkan restu dan doa seorang ibu itu mustajab.

“Ibu dan bapa saya tidak pernah datang menyaksikan secara langsung, ia memang perkara biasa sejak dibangku sekolah lagi.

"Ibu saya kata kalau dia datang tiada siapa nak buat bacaan yasin solat hajat semasa saya bertanding. Dia hanya tonton semula selepas itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Barisan pemenang Gema Gegar Vaganza musim kedua.

Bekas anggota kumpulan Unic ini menewaskan lima peserta lain pada konsert akhir Gema Gegar Vaganza yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Pada pertandingan itu, Fitri membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

Adeep Nahar dan Awi Rafael pula masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, Fitri berkata, kemenangan itu diharap dapat membuka laluan kepadanya untuk kembali semula dalam industri muzik tanah air.

Fitri dan Adeep pada pusingan battle.

Fitri yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu yakin dapat membahagikan masa dengan baik dalam kedua-dua bidang.

“Lapan tahun selepas saya keluar Unic saya sambung belajar peringkat PhD di universiti luar negara.

“Selepas itu saya bilik dan jadi tenaga pengajar. Dalam tempoh itu saya cuba buat lagu tapi tidak menjadi,” ujarnya.

Fitri berkata, dia merancang untuk bekerjasama dengan Awi Rafael bagi menghasilkan single terbaharunya kerana percaya komposer itu mampu memberi lagu terbaik dan sesuai dengan vokalnya.

Fitri Haris, GGV

Artikel Lain