suria

Hanya lagu Islamik dan berlirik baik jika mahu menyanyi semula - Mila Jirin

Mila ikut syarat suami.

PENYANYI Mila Jirin berkata suaminya iaitu Ahmad Ailis Mohamed Mustapha meletakkan syarat jika dia ingin kembali aktif bergelar penyanyi.

Menurut Mila, 31, suaminya hanya mengizinkan menyanyikan lagu berunsurkan islamik dan mempunyai senikata yang baik.

"Suami mulanya tidak mengizinkan saya kembali aktif menyanyi sebab dia bimbang saya terbuai hingga mampu menjejaskan perniagaan.

Mila dan suami, Ahmad Ailis.

"Saya pula rindu menyanyi selepas lebih tiga tahun tidak masuk studio rakaman dan setelah memujuk, suami bersetuju dengan syarat tertentu.

"Dia mahu saya menyanyi lagu-lagu Islamik dan mempunyai seni kata yang baik dan setiap sen pendapatan yang diperoleh disumbangkan kepada mereka yang memerlukan dana segera," katanya kepada mStar Online.

Juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkahwin dengan Ahmad Ailis pada 11 November 2015.

Mila akui kecewa projek amal sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Mila memberitahu dia pernah menjadi mangsa penipuan apabila projek amal yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Persis Mutiara ini tidak mahu terus mengalah dan menggunakan sumber kewangan sendiri bagi menghasilkan karya baharu.

"Saya pernah merekodkan lagu untuk tujuan amal, tetapi disebabkan pertelagahan sesama sendiri akhirnya projek amal tergantung begitu saja. Saya tidak minta bayaran dan melakukannya untuk saham akhirat, tetapi buang masa!

Mila dan suami ketika penggambaran muzik video Adam & Hawa.

"Sekarang ini, saya mahu tebus kekecewaan dengan mengeluarkan duit sendiri. Syarikat perniagaan saya iaitu Bizmilla Catering menaja sepenuhnya untuk rakaman dan penggambaran muzik video bagi projek amal ini," katanya.

Bercakap mengenai lagu terbaharu berjudul Adam & Hawa, Mila memberitahu karya ciptaan Sigit itu mengisahkan tentang pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah.

"Saya melihat Sigit memiliki ilmu seni yang halus dan dia mentafsirkan Al-Quran untuk menghasilkan lirik lagu Adam & Hawa.

"Ia merupakan pengalaman berbeza dan mengharapkan peminat mengambil nilai murni dalam lagu tersebut. Muzik video menjalani penggambaran di sebuah pantai di Indonesia," katanya.

Mila Jirin, Adam & Hawa

Artikel Lain