PELAKON Adam Corrie sanggup menolak tawaran berlakon sepanjang Ramadan bagi menghormati bulan yang mulia ini semata-mata untuk mendapatkan ganjarannya. Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 50, berkata dia percaya rezeki itu datang daripada Allah dan hanya ingin fokus dalam menunaikan ibadat puasa. "Untuk sepanjang ramadan memang saya tak ambil sebarang tawaran pun. Bagi saya, bulan ini adalah waktu untuk kita mengumpul pahala. "Soal rezeki itu, saya percaya pada Allah. Insya-Allah mesti ada rezeki saya di tempat lain. Lebih baik saya beri tumpuan dalam melaksanakan ibadat puasa dengan baik," kata Adam kepada mStar Online. Adam dan isteri bakal menimang bayi sulung tidak lama lagi. Pelakon filem KL Gangster 2 ini memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan dia juga kerap berkongsi pandangan dan pengalaman sebagai mualaf di laman sosialnya. Dalam pada itu, Adam dan isterinya, Fazema Mohd Fuad yang kini sedang hamil tujuh bulan hanya membeli barangan keperluan bayi bagi menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka. Kata Adam, dia dan isteri sudah mengetahui jantina dan mempunyai nama bayi pertama mereka namun masih perlu dirahsiakan buat masa kini. "Alhamdulillah, kandungan isteri kini sudah mencecah tujuh bulan dan insya-Allah bayi kami dijangka lahir pada Julai depan. Kami teruja nak sambut kelahiran baharu dalam keluarga. Adam dan isteri merahsiakan jantina dan nama anak sulung mereka. "Kami sudah ada nama untuk bayi sulung tapi buat masa sekarang biarlah rahsia dahulu nama dan jantinanya. 'Saya berharap semua orang doa yang baik-baik dan doa segala urusan saya dan isteri dipermudahkan," ujarnya. Adam terdahulu memaklumkan mengenai perkhabaran gembira isterinya sedang hamil lima bulan menerusi lama Facebook dan Instagramnya pada awal Mac lalu. Adam dan Fazema Mohd Fuad, 36 melangsungkan pernikahan pada 2008 dan selepas 10 tahun menanti, pasangan ini bakal menyambut kelahiran bayi sulung mereka tidak lama lagi.