suria

Hafiz Hamidun saman syarikat tekstil bukan nak jadi kaya

Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Hamidun berasa lega akhirnya usaha untuk menegakkan haknya sebagai seorang selebriti dan usahawan tidak sia-sia apabila dia menang kes saman ke atas sebuah syarikat tekstil.

Hafiz, 34, berkata, tindakannya itu dibuat bagi mempertahankan hak dan melindungi namanya daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

"Alhamdulillah, setelah lebih setahun akhirnya mahkamah memutuskan saya memenangi kes ini pada Selasa lalu.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk melindungi nama saya yang sudah didaftarkan sebagai hak cipta dan trademark untuk perniagaan saya yang turut mengeluarkan beberapa produk berkaitan tekstil dan baju," ujarnya kepada mStar Online.

Hafiz memfailkan saman terhadap syarikat tekstil Kamdar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana salah guna namanya tanpa kebenaran pada Februari 2017.

Hafiz Hamidun bersama peguamnya.

Sementara itu, penyanyi Jodoh Berdua ini berkata, dia sudah membuat rundingan cara baik dengan syarikat berkenaan namun tidak mencapai kata sepakat.

"Sebelum ke mahkamah kami cuba selesaikan di luar mahkamah dan tuntutan saya itu diabaikan oleh pihak mereka yang tetap mahu ia dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui dikecam teruk oleh netizen disebabkan kenyataannya sebelum ini untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut.

Katanya, usaha yang diperlekehkan itu sebenarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang perlu melindungi hak mereka daripada disalahgunakan pihak tertentu.

Dia juga menyangkal tindakan itu sebagai jalan mudah untuk menjadi kaya seperti didakwa netizen.

Status Hafiz terhadap syarikat tekstil yang menggunakan namanya.

"Saya sedar ramai netizen yang kecam dan anggap saya 'poyo' dan memperlekehkan usaha saya dengan menganggap saya ambil jalan mudah untuk jadi kaya.

"Terpulang kepada mereka kerana apa yang saya lakukan hanya untuk mempertahankan hak saya sahaja," ujarnya.

Hafiz berkata, mahkamah menetapkan Julai depan bagi memutuskan nilai tuntutan kepada pihak berkenaan.

Hafiz Hamidun

Artikel Lain