PELAKON Sharifah Amani beranggapan dirinya tidak layak untuk menduduki kerusi hadapan kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Amani, 32, berkata dia mahu barisan kerusi hadapan tersebut dipenuhi dengan orang yang mengambil berat dan tahu mengenai industri seni. Menurut pemilik nama Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini, dia tahu rakan-rakan artisnya sekadar bergurau dengan menyebut namanya sebagai calon jawatan di Finas. "Saya sedar diri dan ruang. Tidak layak untuk memegang sebarang jawatan tertinggi di Finas. Amani mahu kerusi hadapan FINAS diisi dengan orang yang mengambil berat dan tahu mengenai industri. "Berikan jawatan tersebut kepada orang yang betul-betul tahu mengenai perkembangan industri seni. "Saya hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rakan-rakan yang 'memetik' nama saya itu hanya bergurau saja," kata Amani kepada mStar Online. Amani ditemui ketika majlis sesi pertemuan anak-anak seni bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Restauran Dapoq Che Jun, Kuala Lumpur pada Rabu. Dia diminta mengulas mengenai dakwaan mengatakan dirinya antara individu yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan tertinggi di Finas. Jawatan itu kosong selepas penyandangnya iaitu Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim River meletak jawatan selepas Pakatan Harapan memerintah negara. Amani dan Fahmi sudah berkawan lebih 10 tahun. Dalam pada itu, Amani memberitahu dia sudah mengenali Fahmi Fadzil yang berusia 37 tahun itu lebih 10 tahun. Kata Amani, dia sangat teruja apabila mengetahui seorang rakannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lalu. "Saya kenal YB Fahmi lebih dari 10 tahun. Pernah berlakon bersama menerusi drama bersiri Gol & Gincu The Series pada tahun 2006. "Malah, sebelum ini saya ada mengikuti perkembangannya dalam pementasan teater. Saya gembira dan teruja apabila dapat tahu beliau bertanding dan menang di PRU14. "Orang saya kenal dan boleh menyuarakan tentang penggiat seni serta industri," ujarnya.