suria

“Lepas hujan mesti ada pelangi, kan?” - Luahan Raja Afiq difitnah buat netizen sedih

Luahan Raja Afiq di Instagramnya menyentuh perasaan pengikutnya.

PELAKON Raja Afiq berharap namanya tidak lagi terpalit dengan fitnah yang boleh menjatuhkan maruah dan karier seninya seperti mana berlaku sebelum ini.

Raja Afiq memberitahu dia berharap Allah akan memaafkan sesiapa yang telah bersangka buruk terhadapnya sebelum ini.

"Aku harap sangat tidak ada lagi fitnah yang akan diberikan kepada aku selepas ini.

"Semoga Allah memaafkan manusia yang telah memburukkan aku dan menyangka buruk pada aku. Amin. #muhasabahdirisendiri," tulisnya di Instagram.

Sebelum ini, Raja Afiq pernah mendedahkan dia terpaksa berniaga roti jala dan kek untuk menampung hidup selepas tidak lagi menerima tawaran berlakon ekoran namanya terkait dengan isu kononnya dia menghamilkan seorang gadis sehingga melahirkan bayi.

Raja Afiq percaya pada rezeki walaupun namanya pernah terpalit dengan kontroversi.

Bagaimanapun gadis itu membuat pengakuan bayi tersebut bukanlah anak hasil hubungan dengan artis.

Dalam pada itu, Raja Afiq berkata, dia tetap berpegang kepada kata-kata agar percaya pada diri dan tidak mudah mengalah setiap kali semangatnya pudar.

Katanya lagi, dia percaya sekiranya dia jujur dan ikhlas melakukan sesuatu pasti Tuhan akan mempermudahkan urusannya sama ada di dunia atau pun akhirat kelak.

"Aku percaya sekarang mungkin belum sampai rezeki aku, Insya-Allah di kemudian hari akan datang rezeki-Mu.

"Mungkin sekarang ini Allah bagi aku hujan dan nanti lepas hujan mesti ada pelangi, kan. Insya-Allah. Amin," tulisnya lagi.

Raja Afiq

Artikel Lain