PELAKON Mawar Rashid menjelaskan dia tidak pernah berhasrat mengambil tempat sebagai ibu kandung kepada dua anak tirinya hanya kerana dia menunjukkan kasih sayang terhadap mereka. Sebaliknya kata Mawar, 23, dia sentiasa menghormati wanita yang disifatkan sebagai cekal dalam membesarkan anak-anaknya sebagai ibu tunggal. "Saya amat menghormati ibu kandung anak-anak saya ini. Mummy saya juga seorang ibu tunggal dari saya berumur lima tahun, saya faham perasaannya. "Saya tahu betapa payahnya membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal. Mummy saya menjaga kami tujuh orang adik-beradik tanpa bantuan sesiapa. Susah payah dan pahit getir Mummy saya membesarkan kami dengan penuh kasih sayang dan kesabaran," katanya. Pertikaian pengikut di Instagram membuatkan Mawar bersuara. Mawar berkata demikian di Instagram selepas salah seorang pengikutnya menyelar tindakan dia memanggil anak tirinya sebagai 'My Lil Raden' kerana anak-anak itu masih mempunyai ibu kandung. Anak-anak tersebut ialah Raden Ahmad Rayyan, 7, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 3, hasil perkahwinan terdahulu Raf Yaakob. Dalam pada itu, Mawar berkata, bekas isteri Raf mengetahui dia ikhlas dia menyayangi anak-anak berkenaan seperti anak dia sendiri. "Saya tahu ibu kandung kepada anak-anak tiri saya ini seorang yang penyayang juga, seorang ibu tunggal yang cekal dan anak-anak inilah dunia dan akhiratnya. Mawar bersama suami, Raf Yaakob. "Sudah semestinya dia bersyukur bila saya ikhlas menyayangi anak-anak ini seperti anak saya sendiri dan apabila saya bercakap tentang perasaan saya menyayangi anak-anak saya ini, tiada istilah kata yang saya tidak menghormati ibu kandungnya," katanya. Sementara itu, Mawar menjelaskan dia menggunakan ganti nama 'My Lil Raden' yang merujuk kepada Radin Ahmad Rayyan kerana dia jujur dan ikhlas menyayangi kanak-kanak itu. Jelasnya lagi, sekiranya dia dikurniakan cahaya mata sendiri suatu hari nanti, kasih sayangnya pada anak tirinya tidak akan berubah kerana telah menganggap mereka seperti anak sendiri. "Jika Allah beri saya rezeki cahaya mata satu hari nanti, tiada perbezaan di antara anak kandung saya dan anak-anak tiri saya. Saya akan terapkan sifat kasih sayang yang sama rata dan adil, supaya mereka membesar dalam ketenangan dan penuh kebahagian. Pasangan ini berkahwin pada 9 November tahun lalu. "Saya muat naik gambar demi mengingatkan kenangan terindah seperti mana saya lakukan tentang suami, ibu dan mertua saya serta keluarga kedua-dua belah pihak. "Tiada niat lain kerana itu cara saya, saya akan simpan kenangan yang membahagiakan saya," katanya. Mawar berkahwin dengan Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 33, pada 9 November 2018 dan buat masa ini masih belum ada tanda-tanda Mawar hamil.