PENYAMPAI Radio Hot FM, Ammar Titan mengakui dia berhadapan tekanan yang teruk ketika kontroversi menghina bapa Watson Nyambek tahun lalu. Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 30, berkata, dia pernah menghantar surat berhenti kerja dan berhasrat untuk memulakan hidup baharu di luar negara. "Saya akui sangat tertekan ketika itu saya berjumpa dengan bos Media Prima beritahu hasrat untuk letak jawatan dan mahu berpindah keluar negara. "Saya tidak tahan dengan keadaan ketika itu di mana saya keluar rumah pun dipandang serong oleh masyarakat," ujarnya kepada mStar Online. Ammar ditemui pada majlis iftar Hot FM dan Kool FM bersama media malam Isnin lalu. Ammar (kiri) bersama rakan penyampai Deen (tengah) dan Issey mengendalikan Jam Hot. Tambahnya, dalam tempoh dua bulan pertama, dia terpaksa berehat daripada semua sosial media bagi mengelakkan aura negatif yang memberi tekanan kepadanya. Dia juga mengakui menerima ugutan menerusi kiriman e-mel untuk membunuh dan mencederakan dirinya. "Saya dapat banyak e-mel yang nak bunuh dan cederakan saya, memang takut nak keluar rumah tapi saya tidak membuat laporan polis kerana saya fikir perkara itu hanya rasa marah netizen terhadap saya ketika itu. "Saya tidak baca apa-apa di Internet dan padam seketika Instagram dan sosial media lain. Perkara itu lebih mendatangkan tekanan. Selain itu, Ammar berkata, perkara yang berlaku itu menjadi pengajaran buat dirinya supaya lebih berhati-hati. Ammar akui kini dapat habiskan masa bersama keluarga. Dalam pada itu, dia bersyukur ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku apabila dapat menghabiskan masa bersama keluarga dan anaknya. "Alhamdulillah hikmahnya saya banyak masa bersama keluarga dan melihat anak saya membesar dengan baik. "Sekarang ini saya fikir untuk mencari rezeki dan hidup bersederhana dan tenang bersama keluarga," ujarnya. Ammar mengacarakan program Jam Hot bersama dua orang penyampai iaitu Deen dan Issey. Program tersebut bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 4 hingga 8 malam.