suria

Penyakit misteri sudah pulih, Syura kurus kerana diet

Syura mengamalkan diet yang betul supaya berat badannya mudah turun. Foto: LOW LAY PHON.

KUALA LUMPUR: Berat badan penyanyi Syura kelihatan susut disebabkan dia mengamalkan diet seimbang.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 33, berkata dia berjaya menurunkan berat badannya kepada 49 kilogram daripada 60 kilogram dengan mengikut cara diet yang betul.

"Kalau ikutkan ini adalah berat badan 49 kilogram yang sesuai untuk saya. Masa saya dalam program Gegar Vaganza, berat badan saya dalam 60 kilogram.

"Saya tak letak sasaran pun. Tapi ada amalkan diet yang sihat. Bulan puasa ni pun saya makan tapi mengikut peringkat seperti disarankan doktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Syura Alami Sakit Misteri, Turun 12 Kg


Perbezaan Syura ketika dalam program GV tahun lalu (kanan) dan terkini.

"Mungkin cara diet saya yang betul menyebabkan saya senang untuk turun berat badan," kata Syura kepada mStar Online.

Syura ditemui ketika Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, di sini, pada Isnin.

Menurut Syura, salah satu faktor badannya semakin susat disebabkan dia mengalami penyakit misteri ketika pergi ke Indonesia pada tahun lalu.

Selain itu, kesibukan menyertai program Gegar Vaganza (GV) musim keempat pada tahun lalu juga menyumbang faktor penurunan berat badannya.

"Masa saya sakit ketika pergi ke Indonesia dan ketika saya berada dalam program GV pun agak sibuk mungkin menyebabkan berat badan saya semakin menurun juga.

"Ketika itu, saya banyak minum air dan kuat berpeluh. Sebab itu memang badan susut dengan mudah sangat," ujarnya.

Syura tidak lagi mengalami perkara aneh atau mimpi pelik.

Dalam pada itu, Syura kini sudah pulih daripada penyakit misteri yang dialami itu selepas penyanyi Bob Yusof membawanya menjalani rawatan tradisonal.

"Alhamdulillah selepas Bob bawa saya pergi berubat secara tradisional, tak ada perkara yang aneh berlaku.

"Cuma berat badan sahaja yang turun. Alhamduillah, saya pun tak alami benda ganjil atau mimpi yang pelik-pelik seperti sebelum ini," katanya.

Menerusi laporan mStar Online pada 11 Disember tahun lalu, Syura mendedahkan mengalami penyakit misteri ketika berada di Indonesia untuk merakam lagu terbaru.

Syura turut memberitahu dia mengalami muntah berterusan, sakit kepala yang teruk dan kehilangan suara.

Syura

Artikel Lain