suria

Anak kami bersaudara, lebih baik berdamai! Nora… Fasha mohon maaf

Fasha Sandha harap persengketaannya dengan Nora Danish sejak sekian lama dapat ditamatkan segera. FOTO: Shaari Che Mat

KUALA LUMPUR: Sampai bila nak bergaduh? Itulah persoalan yang dibangkitkan aktres jelita Fasha Sandha berhubung kemelutnya dengan Nora Danish sehinggalah kedua-dua mereka mengambil pendekatan menghapuskan persengketaan.

Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 34, berkata, demi anak-anak mereka yang bersaudara, adalah tidak molek dia dan Nora terus bermusuhan tanpa mencari titik nokhtahnya.

"Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama. Justeru jalan terbaik ialah berdamai dan hidup dalam harmoni," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemelut Nora Danish, Fasha Sandha bakal tamat selepas ke mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Fasha Sandha & Nora Danish Saling Sindir-Menyindir, Apa Puncanya?

Perselisihan faham kedua-dua pelakon itu terjadi sejak sekian lama dan kemuncaknya apabila Fasha mendakwa dihalang oleh penganjur ketika menghadiri pertunjukan fesyen Aidilfitri pada 12 Mei 2017 kononnya ia atas arahan Nora.

Fasha Sandha

Rentetan itu, Nora, 36, menjadikan mahkamah bagi menyelesaikan hal berkenaan sehinggalah satu sidang mediasi untuk menamatkan kemelut berkenaan dilakukan melalui peguam kedua-dua belah pihak.

Fasha berkata, sempena bulan Ramadan ini, dia turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Nora atas salah faham dan isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen itu.

Keutamaan untuk berdamai itu juga adalah atas dorongan hatinya yang memikirkan dua anaknya iaitu Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3,  serta anak sulung Nora, Putera Rayqal, 10, berkongsi kasih seorang bapa.

Kedua-dua mereka sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

"Ia sebab kekeluargaan memandangkan anak sulung Nora adalah abang kandung kepada kedua-dua anak saya. Hubungan anak-anak itu juga sangat rapat.

"Jadi, bila fikir balik, sampai bila kami nak bermusuh terlalu lama. Not good for kids to see mothers having problem (tidak baik bagi anak-anak melihat ibu mereka mempunyai masalah). Saya rasa, ia (perdamaian) ialah jalan terbaik," katanya.

Dalam pada itu mengimbas kejadian pada acara fesyen itu ujar Fasha, dia tiada niat untuk memalukan sesiapa selepas menulis satu posting di laman Instagram mengenai pengalaman sedih kononnya dihalang menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, tulisan dia pada masa itu dibuat selepas mendapat informasi mengenai dirinya lalu dia menjadikan media sosial bagi meluahkan perasaan terbuku di hati.

Selain Putera Rayqal, Nora turut mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl Nedim (dalam gambar) yang dilahirkan pada 22 Februari lalu hasil perkahwinannya dengan Nedim Nazri (kiri).

"Saya mohon maaf terhadap posting tersebut dan bagi saya, jalan terbaik ialah berdamai," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Harta Karun Toki bersama Abam (Bocey) terbitan Global Station sempena Hari Raya Aidilfitri bagi siaran Astro.

Sebelum ini Nora dalam satu kenyataannya seperti dilaporkan mStar Online pada 24 Mei lalu berkata, dia positif untuk melihat berlakunya perdamaian antara dia dengan Fasha.

Berikut ini ialah kenyataan penuh Fasha Sandha

Saya mengakui yang benar saya dan Nora Danish ke pejabat mediasi di Mahkamah Shah Alam minggu lalu.

Maaf saya tidak mahu memberi komen panjang mengenai isu itu sebaliknya apa yang boleh saya katakan di sini, InsyaAllah jika tiada aral melintang bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya akan memohon maaf kepada Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama. 

Justeru jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dari kedua belah pihak kerana tidak jemu mendoakan agar kami berdamai.

Syukur, Allah telah perkenan doa itu serta dengan bantuan kedua peguam yang bertugas.

Terima kasih.

Fasha Sandha, Nora Danish

Artikel Lain