PENYANYI Ziana Zain mendedahkan dia bersama empat anaknya menghabiskan masa selama 12 jam di dua buah pusat beli-belah di ibu negara bagi membeli barang kelengkapan bersempena Aidilfitri yang disambut tidak lama lagi. Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, berkata, sudah menjadi kebiasaannya memperuntukkan masa seharian untuk tujuan itu agar dia boleh memberi fokus kepada perkara lain. "Awal puasa lalu saya sudah heret anak-anak pergi beli kelengkapan hari raya kerana tidak mahu kelam kabut kalau tunggu saat-saat akhir. "Dari pukul 10 pagi keluar, behenti sekejap untuk berbuka puasa dan sambung kembali sampai kedai tutup! "Kalau ikutkan lebih 12 jam kami dalam pusat beli-belah tapi Alhamdulillah semua persediaan selesai dalam tempoh itu," katanya. Ziana bersyukur anak-anaknya tidak cerewet. Ziana mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan Armin Zaharin iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. Dalam pada itu, Ziana berkata, dia beruntung kerana anak-anaknya tidak cerewet dalam soal beli-belah dan hanya mementingkan barang keperluan sahaja. Kata Ziana, sejak kecil dia sebagai ibu memang tidak mendidik mereka tentang jenama mewah sebaliknya bersederhana dalam pelbagai perkara. "Yang cerewet dan brand concious sebenarnya mak dia dan bukannya anak-anak! Paling senang adalah anak sulung saya, Aiman yang sentiasa ingatkan saya agar tidak membazir. Ziana mahu bawa anak-anaknya bercuti. "Dia kalau hendak beli sesuatu mesti bertanya dahulu sama ada saya ada bajet dan tidak kisah kalau beli pakaian tiada jenama. "Cuma kalau bab kasut sahaja anak-anak lelaki saya memang cukup cekap tentang apa yang terkini," jelasnya. Bercakap mengenai Aidilfitri, Ziana berkata, dia merancang untuk membawa anak-anaknya bercuti memandangkan mereka sudah lama membuat permintaan itu. "Insya-Allah sambut raya dahulu di rumah keluarga saya dan hasrat itu hendak bawa mereka bercuti tetapi masih belum tahu lokasi. "Dah lama mereka menyatakan hasrat tetapi kadang-kadang saya sibuk dan kali ini rasanya kena tunaikan permintaan itu," jelasnya.