KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle berkongsi pengalaman bergandingan dengan pelakon Mira Filzah menerusi drama iklan pendek minuman 100 plus berjudul Pelangi Cinta. Syafiq, 26, berkata dia senang bekerjasama dengan Mira yang dianggap seorang yang bijak menyusun dialog secara spontan. "Bekerja dengan Mira sangat senang sebab dia bijak. Kami diberi peluang untuk membuat dialog sendiri secara spontan. "Pengarah membenarkan skrip kami berdua dibuat ketika berada di set penggambaran. Mira pula pandai bagi idea yang kita sendiri pun tak terfikir. "Memang mudah nak berbicara dengan dia dan saya pun turut berkongsi idea dengan dia," kata Syafiq kepada mStar Online. Syafiq dan Mira pertama kali bergandingan menerusi Pelangi Cinta. Foto Instagram: @tv3malaysia. Syafiq ditemui ketika Tayangan Eksklusif dan Sesi Beramah Mesra dengan barisan artis Pelangi Cinta di Pavilion, di sini pada baru-baru ini. Selain mereka berdua, drama yang berdurasi selama 10 minit itu turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Aiman Hakim Ridza dan Syukri Yahaya. Berkongsi mengenai kehidupan selepas dilanda kontroversi video panasnya, Syafiq berkata dia banyak banyak belajar beberapa perkara selepas apa yang terjadi berlaku pada bulan Ramadan. Pemilik nama Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini memberitahu dia juga seperti manusia biasa yang mahu menebus dosa di bulan yang mulia ini. "Alhamdulillah kehidupan sekarang, saya banyak belajar dan banyak benda yang saya nampak bila semua yang terjadi pada bulan Ramadan. "Seperti orang lain, saya juga manusia biasa yang tahu bulan puasa ini waktu untuk kita menebus dosa. Syafiq berterima kasih kepada semua yang menyokongnya. "Itu yang saya hajatkan. Menjadi atau tidak, itu biarlah saya sendiri yang tahu," ujarnya. Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Nur ini meluahkan rasa syukur apabila menerima sokongan bukan hanya dalam kalangan selebriti namun orang biasa juga. "Apa yang boleh cakap saya rasa bersyukur sangat. Ada orang-orang yang sokong satu sama lain. "Maksudnya apa yang saya faham, itu yang mereka faham juga di bulan yang baik ini. Mereka nampak dari pandangan yang positif dan nampak apa yang mereka perlu lakukan. "Saya berterima kasih kepada artis-artis yang beri sokongan. Bukan sahaja artis, kawan-kawan saya juga yang beri kata-kata semangat. Saya sangat hargai," ujarnya. Sejak 27 Mei lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan penularan video tidak senonoh memperlihatkan individu mirip Syafiq melakukan perkongsian sembang video bersama seorang wanita dikenali sebagai Mira.