suria

“Selagi duduk serumah, mereka perlu benarkan saya pantau” - Vanidah Imran

Vanidah Imran Foto THE STAR Low Boon Tat

AKTRES Vanidah Imran memberitahu dia tegas dalam memantau media sosial anak-anaknya agar tidak terpengaruh dan terikut-ikut budaya remaja Barat.

Vanidah berkata, budaya negatif yang menular dalam kalangan remaja sekarang kebanyakkan bermula daripada pendedahan media sosial tanpa batasan.

“Saya follow Instagram mereka kerana jika mereka block saya, saya akan suruh mereka padam sahaja akaun IG tersebut.

“Selagi duduk satu bumbung dengan saya, mereka kena benarkan saya pantau apa juga laman sosial yang mereka ada,” ujarnya kepada mStar Online.


Vanidah bersama suaminya Rashidi Ishak.

Vanidah atau lebih mesra disapa Vee ini berkata, dia pernah menegur tindakan anaknya yang bergambar mengikut trend budaya luar.

Katanya, remaja sekarang mudah belajar tentang budaya yang mereka sendiri tidak tahu.

“Ada pernah mereka muat naik foto dengan posing bersama simbol tertentu dan mereka rasa ia cool. Saya minta dia padam segera kerana ia tidak elok dan membawa maksud tidak baik dalam masyarakat kita.

“Ada juga pernah mereka muat naik status bahasa Inggeris yang diambil dari Google. Namun ia ditegur oleh rakan saya yang turut mengikutinya di media sosial.

“Maksud ayat tersebut tidak sepatutnya di muat naik dan dia sendiri tidak faham,” ujarnya.

Isteri kepada aktor Rashidi Ishak ini ditemui pada majlis sidang media Football Fanatix Run @ Shah Alam Sempana Fifa World Cup 2018 di Hotel Grand Session pada Rabu.

Bagaimanapun, Vanidah berkata, dia perlu terbuka dan memberi kepercayaa. Kepada anak-anaknya dalam menggunakan media sosial mereka.

“Saya tahu mereka tahu banyak benda negatif di media sosial sebab itu saya perlu bersikap terbuka dan jelaskan apa yang betul dan apa yang tidak betul.

“Benda-benda yang dulu susah nak dapat kini hanya di hujung jari sahaja. Sebab itu peranan ibu bapa penting sekarang,” ujarnya.

Vanidah berkahwin dengan Rashidi pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya matanya iaitu Mikhail Imran, 17, dan Maryam Rashika, 14.

Vanidah Imran

Artikel Lain