suria

Selera berbeza sukar dijangka - Penulis lirik Slen Fadzil

Slen kini ceburi bidang perniagaan menjual minyak wangi.

KUALA LUMPUR: Penulis lirik Slen Fadzil menganggap setiap orang mempunyai cita rasa berbeza dalam lagu yang mereka pilih untuk didengari.

Slen atau Roslen Fadzil berkata pendengar muzik juga disajikan dengan pelbagai pilihan genre lagu dan pemilihan itu tidak dapat dijangka.

"Lagu ada pelbagai genre. Selera setiap manusia itu berbeza-beza. Kita pun tak tahu nak jangka lagu macam mana jadi pilihan.

"Kadang-kadang ada yang suka lagu-lagu lama dari zaman 80an. Pendengar banyak pilihan untuk mereka nak dengar lagu yang macam mana," kata Slen kepada mStar Online.

Slen diminta mengulas mengenai lirik lagu zaman sekarang yang dilihat kebanyakkan menggunakan pengulangan perkataan yang sama dan mudah difahami.

Tambah penulis lirik lagu Akhirnya Cinta nyanyian Salma ini, dia tidak rasa lirik zaman kini merosakkan industri seni.

Slen Fadzil.

Sebagai pengkarya seni, dia mencipta sesebuah lagu itu berdasarkan permintaan ramai.

"Saya tak rasa seni itu merosakkan. Kita sebagai pengiat dan pengkarya seni ini buat sahaja.

"Kita cipta lagu itu pun atas permintaan. Selagi lirik lagu itu tidak ada yang memaki hamun atau cacian, saya rasa tak ada masalah," ujarnya.

Lagu nyanyian Salma itu berjaya memasuki pentas Anugerah Juara yang ke 32 yang berlangsung pada awal Februari lalu.

Antara lirik lagu ciptaan Slen yang lain ialah Lembah Asmara nyanyian Ziana Zain, Riwayat Cinta yang dinyanyikan oleh Misha Omar dan Kembalikan Indah nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dalam perkembangan lain Slen kini menceburi bidang perniagaan dalam menghasilkan minyak wangi yang diberi nama PureCanvasParfums.

Menariknya, haruman PureCanvas dalam saiz 50ml Vaporisateur Spray dengan botol seramik itu dihasilkan di luar negara iaitu Perancis dan UAE.

Antara rakan dan selebriti yang hadir pada majlis berbuka puasa.

Kata Slen, pewangi itu cukup istimewa kerana ada kaitan dengan seni lukis dan dunia kewartawanan yang pernah diceburinya sebelum ini.

"Pekerjaan pertama saya dulu adalah seorang pelukis. Kemudian barulah saya menjadi seorang wartawan dan penulis lirik.

"Sejak awal 1990-an lagi saya sering bertugas di luar negara dan gemar mengumpul minyak wangi berjenama.

"Sejak itu saya mula menyimpan impian memiliki minyak wangi produksi sendiri tanpa perlu menggunakan nama sendiri kerana saya bukannya artis popular.

"Jadi saya abadikan segala pengalaman saya melalui motif seperti nama kanvas lukisan, tulisan ala mesin taip wartawan serta frasa Editor's Choice," katanya.

Dengan tagline Painting Your Emotions, pewangi itu didatangkan dalam dalam dua edisi iaitu Glam White bagi wanita dan Fresh Noir (Uniseks).

Glam White lebih ke arah bauan floral bervanilla manakala Fresh Noir pula menyerlahkan bauan serai wangi bervanilla sentuhan pakar minyak wangi dari Perancis.

Dengan harga mampu milik, PureCanvasParfums boleh didapati di beberapa showroom seperti di Missy Eldee, Taman Puncak Jalil dan KC Online di AEON Klebang, Ipoh Perak atau layari IG slenfadzil atau purecanvasparfums.

Slen Fadzil

Artikel Lain