BUAT pertama kali penyanyi Syura Badron menyambut hari raya Aidilfitri tanpa tiga orang anaknya. Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 33, berkata Syawal kali ini anak-anaknya beraya di rumah bekas suami manakala dia beraya bersama keluarganya di Johor. "Sedih juga selepas hampir tiga tahun bercerai ini kali pertama saya berjauhan dengan anak-anak. "Sejak lahir dan sampailah sekarang mereka sentiasa ada dengan saya. Tahun ini raya pertama dengan ayah mereka. "Saya pula beraya dengan keluarga di Johor," kata Syura kepada mStar Online. Syura berasa janggal tidak dapat uruskan anak-anak di pagi raya. Tambah Syura, dia akui ada rasa kelainan menyambut raya tahun ini kerana selalunya pada pagi raya dia akan sibuk menguruskan anak-anak. Kata Syura lagi, dia juga mengambil cuti yang lama untuk berehat kerana tidak terikat dengan mana-mana kerja buat masa kini. "Memang rasa agak lain tahun ini. Selalu pagi-pagi raya saya dah sibuk menguruskan anak-anak nak siapkan mereka. Tapi saya ada sediakan baju raya mereka. "Selepas sambut hari raya ini saya ambil cuti lama kerana tak ada terikat dengan mana-mana kerja. "Mungkin raya keempat saya akan balik Kuala Lumpur bersama anak-anak," ujarnya. Syura Badron. Syura dan bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin, 38, berpisah pada Ogos 2015 selepas sembilan tahun bersama. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 12, Nurul Qaisara Sofia, 10 dan Muhammad Irfan Aryan, 8. Dalam pada itu, Syura turut berkongsi pengalaman berniaga menjual tudung dan kuih raya di Singapura pada bulan Ramadan. "Tahun ini bulan puasa saya berniaga di Singapura dan ada rasa lain sikit. Lebih teruja sebab dapat berniaga di sana. "Selain menjual, saya juga dapat jumpa dengan peminat-peminat yang menetap di sana," katanya.