PENYANYI Haiza tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai di stesen radio Kool Fm biarpun menyedari lagu baharu nyanyiannya tidak dimainkan radio lain. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 38, berkata, dia percaya setiap rezeki yang sudah diaturkan Allah. “Saya sedar perkara itu takkan saya nak tinggalkan kerjaya di stesen radio ini kerana ia juga rezeki yang sudah diberikan kepada saya. “Saya yakin banyak lagi medium untuk kita kenalkan lagu baru dan promosi yang betul pasti orang akan tahu tentang lagu saya,” ujarnya kepada mStar Online. Haiza diminta mengulas tentang perkembangan kerjaya nyanyiannya selepas bergelar penyampai radio Kool FM sejak dua tahun lalu. Haiza pernah melacarkan single duet bersama Aepul. Penyanyi ini pernah melancarkan lagu duet bersama Aepul Roza berjudul Jangan Pernah Dusta tahun lalu. Bagaimanapun, Haiza berkata, kekangan yang berlaku itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengeluarkan lagu baharu. Penyanyi lagu Dag Dig Dug ini bersyukur stesen radio Kool FM masih memainkan lagu-lagu nyanyiannya. “Ada beberapa lagu yang saya dah bagi deposit tapi masih belum sempat masuk studio, Insyaallah tidak lama lagi,” ujarnya. Dalam pada itu, bercakap tentang lagu raya, Haiza berkata, dia mempunyai sebuah lagu berjudul Rindu Di Anjung Lebaran ciptaan S Atan. Menurutnya, ia merupakan lagu raya kedua selepas Ini Baru Raya berduet bersama Fazli Zainal. “Lagu raya tahun lepas Rindu Di Anjung Lebaran, setakat ini baru ada dua lagu raya. “Bagi saya lagu raya tidak perlu banyak-banyak, biar sedikit tapi orang dengar setiap kali raya,” ujarnya.