PENYANYI Syamel mendedahkan dia kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak awal tahun ini sebagai salah satu perancangan masa depannya. Syamel berkata, penglibatannya dalam dunia perniagaan bukan sekadar suka-suka tetapi dia berazam ingin menjadi seorang ahli korporat terkenal dan disegani suatu hari nanti. "Alhamdulillah perancangan saya untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan akhirnya terlaksana dan ia bukan sahaja untuk persediaan masa depan. "Saya ada misi lain iaitu ingin menjadi ahli korporat berjaya dalam perniagaan yang saya usahakan... Insya-Allah," katanya. Diminta berkongsi mengenai perniagaan dijalankannya, Syamel berkata buat masa ini dia masih belum bersedia mendedahkan perkara itu kerana ia masih dalam peringkat awal. Syamel mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak Januari lalu. Bagaimanapun kata Syamel, perniagaan tersebut bukan melibatkan bidang fesyen atau produk kecantikan namun ia berkait rapat dengan dunia hiburan. "Buat masa ini saya tak mahu cerita lanjut cukuplah sekadar saya sudah mulakan perniagaan ini bersama rakan kongsi sejak awal tahun ini. "Apabila sudah ada kemajuan nanti saya akan kongsi tetapi ia tidak melibatkan industri fesyen, produk kecantikan atau ubat kurus dan seumpamanya. "Ia berlainan daripada apa yang saya lakukan sekarang tetapi masih ada kaitan dengan dunia hiburan," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Syamel berkata, selepas sambutan Aidilfitri dia akan kembali sibuk dengan undangan nyanyian selain dalam proses melancarkan single terbaharunya tidak lama lagi.