suria

Elly luah rasa syukur, mahu berbaik dengan Azmi & Faye demi anak

Elly Mazlein syukur Azmi datang melawat anak pada Hari Raya Aidilfitri.

PENYANYI Elly Mazlein meluahkan rasa syukur apabila bekas suami pengarah Azmi Hatta berkunjung ke kediamannya bagi menziarahi anak mereka Putri Sara Sefhia yang kini berusia dua tahun.

Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 38, menerusi Instagram miliknya mengakui gembira dan ingin berubah menjadi lebih baik untuk kebahagiaan anaknya itu.

"Alhamdulillah, pertemuan yang indah dua beranak, Sefhia dan daddy Azmi Hatta.

"Tiada yang indah selain kebahagiaan buat si kecil. Moga kita yang serba kekurangan ini mampu berubah ke arah kebaikan untuk nyawa yang kita sayang," tulisnya pada Ahad.

Elly luahkan rasa syukur di instagram miliknya pada Ahad.

Selain itu, Elly turut mengucapkan terima kasih kepada Azmi dan isterinya pelakon Faye Kusairi.

"Terima kasih daddy (Azmi) dan mommy Faye Kusairi, selamat hari raya," ujarnya.

Dia turut meletakkan tanda pagar bersatu itu lebih indah, ini yang ku mahukan, perbuatan tiada muslihat dan aku ingin bahagia pada akhir posting berkenaan.

Rata-rata pengikut mengucapkan syukur dan meminta kedua-dua pihak untuk berbaik demi anak mereka.

Elly turut mengucapkan terima kasih kepada Azmi dan Faye.

"Alhamdulillah, buang yang keruh ambil yang jernih, semoga hubungan keluarga Elly bersatu demi anak, berbaiklah untuk pembesaran Sefhia," ujar netizen.

Kemelut hubungan Elly dan bekas suaminya menjadi hangat selepas pasangan itu bercerai dan pelakon drama Teratai Kemboja itu mendakwa Azmi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Elly berkahwin dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun mengambil keputusan untuk bercerai pada 15 Oktober 2015.

Azmi kemudian berkahwin dengan Faye pada 9 April 2017 dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di kondominium D'Pines, Jalan Ampang, dekat sini, dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Artikel Lain