PENYANYI Yuna meminta peminat yang ingin mengambil foto dengannya agar menegur dan meminta izin terlebih dahulu. Yuna atau Yunalis Zarai, 32, berkata, dia tidak akan menolak perlawaan itu jika ia diminta dengan cara yang baik. "Saya ingin memberitahu jika anda nampak saya dan mahu bergambar dengan saya, anda perlu datang dan katakan hai atau memberi salam dan bertanya! "Saya berjanji tidak akan gigit anda," ujarnya di Instagram pada Ahad. Yuna meluahkan rasa kurang senang itu di Instagram. Yuna berkata, dia menyedari terdapat segelintir peminat yang mengambil gambar dan video dirinya secara sembunyi tanpa pengetahuannya. Penyanyi lagu Crush ini berkata, perkara itu dilihat sebagai lucu dan kadang-kala biadap. "Saya rasa ia memalukan dan kadang-kala lucu bila ada yang lebih suka untuk ambil gambar atau video secara diam-diam dan apabila saya beralih untuk melihat mereka berhenti dan pura-pura sedang menggunakan telefon! "Pada masa akan datang saya akan ambil gambar dan video mereka juga," ujarnya. Bagaimanapun, Yuna berkata, dia lebih menghargai jika peminat tidak mahu mengganggu dan membiarkan dia untuk melakukan perkara yang sedang dilakukannya.