suria

Haqiem Rusli... Isu murung jangan dibuat main! - Aiman Tino

Aiman Tino.

KUALA LUMPUR: Sebagai rakan artis yang sama-sama membina nama, penyanyi Aiman Tino berharap sahabatnya, Haqiem Rusli tidak mempermainkan isu kemurungan.

Aiman, 20, berkata sekiranya benar Haqiem mengalami masalah kemurungan, dia perlu meminta pertolongan daripada pihak yang berkebolehan memberi pendapat selain mendapatkan nasihat daripada kedua ibu bapanya.

“Saya faham bukan mudah untuk berada dalam industri ni. Tapi saya harap apa yang Haqiem lakukan itu bukanlah sekadar gimik. Sebab isu kemurungan itu tak boleh dibuat main.

ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri bengang dibodohkan Haqiem Rusli dalam gimik murahan

“Isu itu terlalu serius. Walaupun dia cakap apa dilakukannya itu sekadar gimik tapi sudah tentu peminatnya akan berasa sedih. Kalau betul dia ada masalah, kena minta pertolongan pihak yang betul.

“Atau juga dapatkan nasihat daripada ibu dan bapa kita. Sebab peranan mereka sangat penting. Apa-apa pun kena minta nasihat mereka,” kata Aiman kepada mStar Online.

Aiman ditemui ketika sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, di sini,  pada Rabu.

Haqiem Rusli

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci ini juga antara selebriti yang sentiasa menerima kritikan dan kecaman daripada netizen. 

Malah, Aiman mengakui dia pernah berasa tertekan dengan komen negatif peminat namun menganggap perkara itu remeh dan tidak perlu difikirkan. 

“Memang pada mula saya ceburi bidang seni dan mendapat pelbagai kritikan dan kecaman, saya rasa tertekan. Sampaikan hari ini saya masih terima komen-komen negatif.

“Tapi lama kelamaan, saya anggap perkara itu remeh. Saya lihat daripada sudut positif sahaja dan yang negatif itu kita tak perlu fikir,” ujarnya. 

Sebelum ini, Haqiem memaklumkan dia mengalami kemurungan sehingga memaksa dia untuk meninggalkan dunia seni namun keputusannya itu berubah selepas menerima sokongan ramai.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak beranggapan kenyataan yang dibuat penyanyi lagu Segalanya itu sekadar gimik untuk mempromosikan lagu terbaharunya, Selamat Tinggal Sayang.

Namun menerusi temu bual dengan mStar Online pada Rabu, Haqiem telah menafikan dakwaan tersebut. 

Manakala, syarikat pengurusan Haqiem iaitu FMC Music bakal mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar yang akan dihadiri penyanyi itu serta Wany Hasrita dan Ernie Zakry pada malam ini.

Aiman Tino, Haqiem Rusli

Artikel Lain