PELAKON Ellie Suriaty menafikan dia dibayar oleh pihak tertentu berhubung tindakannya menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ellie, 48, menyifatkan sokongan itu bersifat perjuangan untuk menegakkan keadilan tanpa mengharapkan sebarang balasan. "Apa yang berlaku di mahkamah itu bukan pakatan atau rancangan, semua yang ada di sana ada perasaan yang sama. "Kami tidak dibayar, jangan sesiapa tuduh saya ambil duit, makan dedak atau sebagainya. Saya bukan orang yang boleh dibeli," ujarnya. Ellie membuat penjelasan menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada malam Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di mahkamah... Ellie Suriaty hargai jasa Najib, terpulanglah apa orang nak kata Pada Rabu lalu, Ellie hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Najib yang didakwa di atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Menerusi video berdurasi 17 minit itu, Ellie berkata, dia mula menyokong bekas presiden Umno itu selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu. Katanya, perkara itu didorong perasaan bimbang dengan nasib bangsa Melayu di bawah pimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan. "Saya masuk Umno setelah kerajaan (BN) jatuh ia kerana saya kenangkan nasib anak bangsa kita nanti. "Apa akan jadi dengan nasib anak Melayu dan agama Islam," ujarnya. Dalam pada itu, Ellie juga kesal dengan kecaman netizen yang menuduhnya dengan pelbagai komen negatif terutama menyentuh tentang dirinya tidak menutup aurat. Ujar Ellie, dia mempunyai alasan berkaitan hal itu. "Ramai yang kecam kata saya kuat sembang berjuang demi agama, bangsa, negara tapi saya tak pakai tudung. Mereka kecam sedahsyat-dahsyatnya. "Saya belum menutup aurat kerana masih aktif berlakon dan membawa pelbagai watak yang tidak bertudung," ujarnya.